Pages

Showing posts with label Motivasi. Show all posts
Showing posts with label Motivasi. Show all posts

Wednesday, May 4, 2011

MULAKAN LANGKAHMU

Assalamualaikum w.b.t

Sedikit motivasi buat diri sendiri. Mungkin sesuai untuk dikongsikan bersama......


 Motivasi untuk diri bagi memulakan dan terus melangkah. Juga sebagai latihan fotografi ;-)

Model: Aiman Mujahid yang sedang tidur.



Fikir-fikirkanlah...

Monday, November 29, 2010

JADILAH MACAM SYAITAN!

Assalamualaikum w.b.t.



Seronok berbual-bual dengan rakan-rakan pejabat. Pelbagai topik keluar. Isu utama perbualan adalah hal politik. Dalam seronok berbual, terselit juga pelbagai cerita dan kata-kata. Antara buah perbualan;

A:  Hidup ni, kita kena jadi macam setan!!

B & C:  HUISH!!!!! apalah akak ni. Melampaulah tu....

A: Eh betullah. Kita ambil lah yang positifnya

B: Apa yang positifnya?

A: Dalam hidup ni kita tak boleh putus asa. Jadi macam setan, tak pernah putus asa. Dia akan tetap goda manusia walau dimana & bagaimana cara sekalipun. Jadi, kita jangan mudah putus asa. Kalau tak boleh cara macamni, kita cuba cara lain pulak. 

B: Memanglah kak. Tapi orang sekarang ni ambil yang depan je. JADI MACAM SETAN! ayat belakang dah tak sempat nak dengar dah.. 

Yang C hanya diam tak menyampuk. Moral of the story, setiap benda yang dijadikan Allah ni ada pengajaran disebaliknya. Terpulang pada kita mentafsirkan. Jangan kita jadi lebih dari setan sudaahhhh...


Fikir-fikirkanlah...

Wednesday, May 26, 2010

BERFIKIRAN POSITIF - PART 1

Salam buat semua. Semalam saya berjalan-jalan di laman FB dan terjumpa sebuah laman sembang / forum yang membincangkan masalah yang dihadapi oleh sahabat laman tersebut. Tertarik pada masalah yang dihadapi oleh sahabat disana. Bagaimana nak berfikiran positif? lantas menarik minat saya untuk membuat entri disini bagi membincangkan masalah tersebut.


Jangan kata TIDAK!!

Perkataan tidak adalah perkataan yang negatif. Kalau kita awal-awal lagi dah katakan tidak / tak, maksudnya kita dah letakkan satu penghalang buat kita. Ayat yang biasa kita dengar;

1. Aku tak bolehlah
2. Aku tahu, tapi... ntahlah
3. Tu yang susah tu..

Dah terang-terang ayat tu bagi kesan negatif pada kita. So, jangan sesekali guna ayat-ayat sebegitu dalam percakapan seharian kita. Tukar ayat tersebut kepada ayat yang positif;

1. Insyaallah aku boleh buat benda ni
2. Senang je ni sebab aku dah tahu
3. Boleh punya, cikai je ni

Yakinkan diri sendiri dan percaya pada diri. Katakan yang kita boleh. Malaysia boleh!! ;-)

Mulai hari ini, buang perkatan tak / tidak / no dalam pertuturan seharian. Semoga berjaya untuk anda & untuk saya.

Tak usah nak cakap banyak. Perkara macam ni kalau kita bincang panjang-panjang orang malas nak baca. So kita pendekkan aje.

Fikir-fikirkanlah...

Thursday, May 13, 2010

MENABUNG ATAU MELABUR?


Tajuk macam serius berkenaan kewangan je. Hehehe saja nak ajak kawan-kawan berfikir. Mana yang bagus? menabung atau melabur? Kalau kita sebut je perkataan menabung ataupun melabur, apa yang terlintas difikiran kita semestinya berkenaan wang. Waktu kita sekolah dulu pun diajar supaya menabung. Apa bezanya menabung dan melabur?

Menabung sama maksud dengan menyimpan. Semakin banyak kita menabung semakin banyaklah simpanan kita dan semakin kaya lah kita ;-) Tetapi, simpanan kita hanya akan bertambah sekiranya kita menambah tabungan. Walau masa menginjak, simpanan tidak akan sesekali bertambah jika tiada tabungan.

Melabur pula adalah proses lain selepas menabung. Hasil tabungan itu kita 'kongsi' dengan yang lain. Secara tak langsung, ia kan memberi pulangan kepada kita. Tanpa menambah tabungan pun, pendapatan kita boleh bertambah hasil daripada pelaburan.

Konsep ini saya guna pakai untuk perkongsian ilmu. Menabung barmaksud menambah ilmu. Semakin banyak kita belajar/membaca etc (bagi menambah ilmu), semakin banyaklah ilmu kita (simpanan). Tetapi, adalah lebih baik sekiranya ilmu itu di'kongsi' bersama (melabur). Secara tak langsung, ia mampu menambahkan ilmu kita juga. Berkongsi dengan orang lain, orang lain pun akan turut sama berkongsi dengan kita. So, ilmu itu tidak datang hanya dari 1 sumber. Kepelbagaian sumber akan memberi kepelbagaian ilmu. Tetapi melaburlah ditempat yang betul dan yang dibenarkan oleh Islam.

Ingat... melaburlah. Jangan hanya menyimpan. Jangan sehingga kita dilabel sebagai kedekut ilmu.

Fikir-fikirkanlah...

Wednesday, May 12, 2010

REDHA AKAN KETENTUANNYA



Salam semua, pagi tadi kami (saya dan hubby) menerima berita sedih yang agak mengejutkan. Berita berkenaan perginya seorang hamba Allah yang belum sempat menikmati keindahan dunia. Seorang bayi kecil meninggal dunia tidak lama setelah dilahirkan. Ibunya adalah rakan sekerja hubby (cikgu jugak lah).

Menurut hubby, semalam dia dah pun merasa sakit-sakit semasa disekolah. Rakan sekerja sempat bergurau senda dengannya. Lebih kurang jam 10 mlm semalam hubby terima sms. Tapi dia tak tengok sebab dah mengantuk sangat dan dia tak perasan ada sms. Pagi tadi seorang lagi rakan menghantar sms yang sama bagi memberitahu akan kejadian tersebut.

Saya mengenangkan perasaan seorang ibu yang mengandungkan 9 bulan dan bila dilahirkan, hanya sempat bersama buat seketika cuma. Ya Allah betapa besar ujian bagi dirinya. Inilah yang dikatakan perancangan kita dibawah perancangan Allah.

Kita merancangkan sesuatu perkara agar ia menjadi indah pada fikiran kita. Namun apa yang berlaku adalah perancangan Allah. Allah yang lebih dahulu merancang daripada kita. Tetapi kita tidak akan tahu apa yang dirancang olehnya untuk kita. Tetapi ini tidak bermakna yang kita tidak perlu merancang.

Apabila berlaku perkara yang bertentangan dengan apa yang dirancang, disinilah konsep redha diguna pakai. Berikut adalah sedikit info berkenaan redha. Semoga memberi manfaat kepada kita semua.

Sifat Redha

1) Sifat redha adalah daripada sifat makrifah dan mahabbah kepada Allah s.w.t.

2) Pengertian redha ialah menerima dengan rasa senang dengan apa yang diberikan oleh Allah s.w.t. baik berupa peraturan ( hukum ) mahupun qada' atau sesuatu ketentuan daripada Allah s.w.t.

3) Redha terhadap Allah s.w.t terbahagi kepada dua :

  • Redha menerima peraturan ( hukum ) Allah s.w.t. yang dibebankan kepada manusia.
  • Redha menerima ketentuan Allah s.w.t. tentang nasib yang mengenai diri.

Redha Menerima hukum Allah s.w.t. :

Redha menerima hukum-hukum Allah s.w.t. adalah merupakan manifestasi daripada kesempurnaan iman, kemuliaan taqwa dan kepatuhan kepada Allah s.w.t. kerana menerima peraturan-peraturan itu dengan segala senang hati dan tidak merasa terpaksa atau dipaksa.

Merasa tunduk dan patuh dengan segala kelapangan dada bahkan dengan gembira dan senang menerima syariat yang digariskan oleh Allah s.w.t. dan Rasulnya adalah memancar dari mahabbah kerana cinta kepada Allah s.w.t. dan inilah tanda keimanan yang murni serta tulus ikhlas kepadaNya.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :
" Tetapi tidak ! Demi Tuhanmu, mereka tidak dipandang beriman hingga mereka menjadikanmu ( Muhammad ) hakim dalam apa yang mereka perselisihkan di antara mereka, kemudian mereka tidak merasa sempit dalam hati mereka tentang apa yang engkau putuskan serta mereka menyerah dengan bersungguh - sungguh ". ( Surah An-Nisaa' : Ayat 65 )

Dan firman Allah s.w.t yang bermaksud :
" Dan alangkah baiknya jika mereka redha dengan apa yang Allah dan Rasulnya berikan kepada mereka sambil mereka berkata : ' Cukuplah Allah bagi kami , Ia dan Rasulnya akan berikan pada kami kurnianya ,Sesungguhnya pada Allah kami menuju ".
( Surah At Taubah : Ayat 59 )

Pada dasarnya segala perintah-perintah Allah s.w.t. baik yang wajib mahupun yang Sunnah ,hendaklah dikerjakan dengan senang hati dan redha. Demikian juga dengan larangan-larangan Allah s.w.t. hendaklah dijauhi dengan lapang dada .

Itulah sifat redha dengan hukum-hukum Allah s.w.t. Redha itu bertentangan dengan sifat dan sikap orang-orang munafik atau kafir yang benci dan sempit dadanya menerima hukum-hukum Allah s.w.t.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :
" Yang demikian itu kerana sesungguhnya mereka ( yang munafik ) berkata kepada orang-orang yang di benci terhadap apa-apa yang diturunkan oleh Allah s.w.t. 'Kami akan tuntut kamu dalam sebahagian urusan kamu ',Tetapi Allah mengetahui rahsia mereka ". ( Surah Muhammad : Ayat 26 )

Andaikata mereka ikut beribadah, bersedekah atau mengerjakan sembahyang maka ibadah itu mereka melakukannya dengan tidak redha dan bersifat pura-pura. Demikianlah gambaran perbandingan antara hati yang penuh redha dan yang tidak redha menerima hukum Allah s.w.t. , yang mana hati yang redha itu adalah buah daripada kemurnian iman dan yang tidak redha itu adalah gejala nifaq.

Redha Dengan Qada' :

Redha dengan qada' iaitu merasa menerima ketentuan nasib yang telah ditentukan Allah s.w.t baik berupa nikmat mahupun berupa musibah ( malapetaka ). Didalam hadis diungkapkan bahawa di antara orang yang pertama memasuki syurga ialah mereka yang suka memuji Allah s.w.t. . iaitu mereka memuji Allah ( bertahmid ) baik dalam keadaan yang susah mahupun di dalam keadaan senang.

Diberitakan Rasulullah s.a.w. apabila memperolehi kegembiraan Baginda berkata :
" Segala puji bagi Allah yang dengan nikmatnya menjadi sempurnalah kebaikan ".

Dan apabila kedatangan perkara yang tidak menyenangkan , Baginda mengucapkan :
" Segala puji bagi Allah atas segala perkara ".

Perintah redha menerima ketentuan nasib daripada Allah s.w.t. dijelaskan didalam hadis Baginda yang lain yang bermaksud :

" Dan jika sesuatu kesusahan mengenaimu janganlah engkau berkata : jika aku telah berbuat begini dan begitu, begini dan begitulah jadinya. Melainkan hendakalah kamu katakan : Allah telah mentaqdirkan dan apa yang ia suka , ia perbuat ! " Kerana sesungguhnya perkataan : andaikata... itu memberi peluang pada syaitan " . (Riwayat Muslim)

Sikap redha dengan mengucapkan puji dan syukur kepada Allah s.w.t. Ketika mendapat kesenangan atau sesuatu yang tidak menyenangkan bersandar kepada dua pengertian :

Pertama : Bertitik tolak dari pengertian bahawa sesungguhnya Allah s.w.t. memastikan terjadinya hal itu sebagai yang layak bagi Dirinya kerana bagi Dialah sebaik-baik Pencipta. Dialah Yang Maha Bijaksana atas segala sesuatu.

Kedua : Bersandar kepada pengertian bahawa ketentuan dan pilihan Allah s.w.t. itulah yang paling baik , dibandingkan dengan pilihan dan kehendak peribadi yang berkaitan dengan diri sendiri.

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :
" Demi Allah yang jiwaku ditangannya !Tidaklah Allah memutuskan sesuatu ketentuan bagi seorang mukmin melainkan mengandungi kebaikan baginya. Dan tiadalah kebaikan itu kecuali bagi mukmin . Jika ia memperolehi kegembiraan dia berterima kasih bererti kebaikan baginya , dan jika ia ditimpa kesulitan dia bersabar bererti kebaikan baginya ".
( Riwayat Muslim )

Saya doakan agar ibu tadi redha dan tabah dalam menerima ketentuan Allah ini. Ini adalah yang terbaik yang ditentukan untuknya. Sesungguhnya Allah itu bekerja dalam diam.

Fikir-fikirkanlah...

Sumber dari http://www.al-azim.com/masjid/infoislam/tasawwuf/redha.htm

Monday, May 10, 2010

KITA TANYA, QURAN JAWAB

Salam buat semua, entri ini adalah email yang saya terima dari seorang sahabat. Menarik untuk di kongsi. Rasanya setiap dari kita pernah melontarkan soalan yang sama pada diri. So kita lihat apa jawapannya ;-)


KITA BERTANYA :
KENAPA AKU DIUJI?

QURAN MENJAWAB

"Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; "Kami telah beriman," ("I am full of faith to Allah") sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya Kami telah menguji org2 yg sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui org2 yg benar dan, sesungguhnya Dia mengetahui org2 yg dusta."
-Surah Al-Ankabut ayat 2-3


KITA BERTANYA
: KENAPA AKU TAK DAPAT APA YG AKU IDAM-IDAMKAN?

QURAN MENJAWAB

"Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui."
- Surah Al-Baqarah ayat 216


KITA BERTANYA :
KENAPA UJIAN SEBERAT INI?

QURAN MENJAWAB

"Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya."
- Surah Al-Baqarah ayat 286


KITA BERTANYA
: KENAPA RASA FRUST?

QURAN MENJAWAB

"Jgnlah kamu bersikap lemah, dan jgnlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah org2 yg paling tinggi darjatnya, jika kamu org2 yg beriman."
- Surah Al-Imran ayat 139


KITA BERTANYA :
BAGAIMANA HARUS AKU MENGHADAPINYA?

QURAN MENJAWAB

"Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah (be fearfull of Allah The Almighty) kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan)."

KITA BERTANYA
: BAGAIMANA HARUS AKU MENGHADAPINYA?

QURAN MENJAWAB

"Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk"
- Surah Al-Baqarah ayat 45


KITA BERTANYA :
APA YANG AKU DAPAT DRPD SEMUA INI?

QURAN MENJAWAB

"Sesungguhnya Allah telah membeli dari org2 mu'min, diri, harta mereka dengan memberikan syurga utk mereka... ?
- Surah At-Taubah ayat 111


KITA BERTANYA
: KEPADA SIAPA AKU BERHARAP?

QURAN MENJAWAB

"Cukuplah Allah bagiku, tidak ada Tuhan selain dari Nya. Hanya kepadaNya aku bertawakkal."
- Surah At-Taubah ayat 129


KITA BERKATA :
AKU TAK DAPAT TAHAN!!!

QURAN MENJAWAB

"... ..dan jgnlah kamu berputus asa dr rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dr rahmat Allah melainkan kaum yg kafir."
- Surah Yusuf ayat 12



Peringatan ini saya terima dari sahabat yang prihatin pada saya. Saya sebarkan peringatan ini kepada sahabat2 tersayang untuk ingat mengingati kepada kebenaran

Fikir-fikirkanlah...

Monday, May 3, 2010

AKU NAK JADI KAYA!!!!


Aku nak jadi kaya! aku nak jadi kaya! Aku nak jadi kaya di dunia dan juga kaya diakhirat. Ramai yang kita lihat sekarang, mereka kaya didunia tetapi diakhirat belum tahu lagi. Tidak kurang juga yang mencari kaya untuk akhirat tetapi didunia mmmmmmm... Apa yang penting, untuk jadi kaya kita perlu berusaha dan bekerja keras.

Ukuran bagi kaya di dunia adalah dengan mempunyai duit yang banyak (tiada masalah kewangan), mempunyai rumah yang besar dan selesa, kereta besar dan segala macam kebendaan lagi. Kita perlu berusaha dan bekerja (hard & smart) untuk memperolehi segalanya. Tetapi ia tidak menjamin samasekali untuk kita kaya di akhirat.

Untuk kaya diakhirat pula, kita perlu banyakkan ibadah, zikir dan segalanya berkaitan dengan cara untuk menjadi hamba Allah yang baik. Tetapi tidak pula dengan hanya beribadah sehingga menolak semua tuntutan duniawi.

Berikut adalah perkara yang saya fikirkan boleh membuatkan kita kaya didunia dan akhirat;

  1. Bekerja dengan bersungguh. Memikirkan cara untuk menambahkan pendapatan dengan cara HALAL dan dibenarkan Islam.
  2. Sambil menambah harta, sambil kita menderma.
  3. Elakkan menindas insan lain demi mengejar impian kita.
  4. Jujur dalam setiap urusan seharian.
  5. Jangan sesekali meninggalkan suruhannya walaupun dalam kesibukan kita mencari pendapatan.
  6. Banyakkan berdoa kepadanya, termasuklah berdoa agar ditambahkan & dimurahkan rezeki.
  7. Jangan sesekali menerima rasuah ataupun mengambil riba'. Ia amat-amat dilarang didalam Islam.
  8. Didalam kesibukan mencari harta, selitkan zikrullah disetiap waktu senggang.
  9. Baca Al-quran walaupun sepotong ayat setiap sesudah solat.
  10. Jangan amalkan tikam belakang dalam urusan kerja. Bantu sesama rakan sekerja dengan ikhlas hati.
Pendek kata, amalkan sifat-sifat murni sepanjang urusan kita seharian. Ia mungkin nampak remeh, tetapi Islam memandangnya sebagai suatu perkara yang besar. Jadikan Islam sebagai cara hidup dan cara berfikir. InsyaAllah kita akan mendapat kekayaan di dunia & di akhirat. Ameeennn


Fikir-fikirkanlah...

Friday, April 30, 2010

SEMANGAT MEMBARA


Seronok apabila apa yang kita inginkan dan kerjakan berjalan lancar. Terasa seolah-olah ia direstui kerana segala usaha kearahnya dipermudahkan oleh Allah s.w.t. Saya sekarang tengah berkobar-kobar untuk belajar menjahit. Kembali mengasah bakat menjahit ;-) ada bakat ke heheheheee... Semasa pameran buku di PWTC yang lepas saya membeli sebuah buku berkenaan jahitan. Agak Tebal. Harganya adalah RM50 hasil nukilan Mariam. Beliau memang terkenal dalam penghasilan buku berkaitan jahitan.

Pada 14 April 2010 saya ditemani suami telah membeli sebuah mesin jahit bagi meralisasikan impian. Seronoknya rasa. Pada hari yang sama, saya kekedai yang menjual alatan jahitan di selayang bagi membeli segala kelengkapan menjahit. Semasa saya sibuk memilih barangan sambil dibantu oleh pembantu kedai, saya disapa oleh tauke kedai tersebut.

Tauke: awak baru nak menjahit ke?
Saya: ya (menjawab dgn perasaan segan. Baru nak belajar menjahit... malunya)

Tauke: awak baru nak belajar ke?

Saya: haah (ish... jgnlah tanya banyak kali)

Tauke: ooooo kalau macam tu awak perlu gunting yang macam ni (sambil membantu saya memilih gunting) awak ambil perca ni & cuba dulu. Biar saya sapu dengan minyak supaya mudah awak guna.

Pembantu: awak nak apa lagi? awak dah ada peniti? penetas benang?


(dalam hati rasa seronok kerana dibantu oleh mereka)


Tauke: kalau awak nak tanya aku apa2 tanya je lah nanti. kalau aku boleh jawab aku jawab. Awak nak jahit tepi kt sini pun boleh nanti. Kalau awak tak faham nanti awak boleh tanya aku.


Seronoknya apabila ada yang menawarkan diri untuk membantuku. Terasa mudah perjalanan. Untuk pengetahuan, tauke tersebut berbangsa china. Sehingga sekarang saya baru dapat siapkan sehelai baju kurung. Saya minta suami hantarkan untuk jahit tepi dikedai tauke tersebut.

Tauke: awak pesan pada isteri awak nanti.. kalau buat pesak, kena buat mcm ni.. ukurannya mesti begini supaya nampak elok.

Alhamdulillah dia membantu ku.

Baru2 ini juga, aku terjumpa sebuah blog yang banyak memberi maklumat serta membantu mereka yang inginkan ilmu menjahit. Semoga empunya blog diberi kesenangan oleh Allah kerana tidak kedekut dengan ilmu yang ada. Blog yang saya maksudkan adalah sebatang jarum emas. Terima kasih yang tidak terhingga. Secara tidak langsung ia menambahkan lagi semangat saya untuk terus mempelajari ilmu jahitan. Terima kasih kepada semua yang membantu. Terima kasih kepada suami yang banyak memberi dorongan.

Saya mengharapkan semangat ini akan terus membara dan membara.


Fikir-fikirkanlah...

I'M NOT A LOOSER!!!!

Beberapa hari yang lepas, saya ada menonton tv channel 411 kot. Filem barat mengisahkan kehidupan seorang imej consultant. Dia membenci ayahnya dan dia benci kehidupan zaman silamnya (zaman kanak2). Dia kini hidup untuk dirinya tanpa memikirkan orang disekelilingnya. Dia merupakan bos yang tegas. Dia benci untuk berhubung rapat dengan orang luar. Sehingga pada satu ketika dirinya sewaktu kanak2 muncul dalam kehidupannya sekarang. Pada awalnya dia beranggapan bahawa ia hanyalah ilusinasi dan bukan sesuatu yg benar sehinggalah apabila kakitangannnya menyatakan yang mereka turut nampak kanak2 tersebut. Agak sedih bagi kanak2 tersebut apabila mendapati kehidupan dewasanya berbeza daripada apa yang dia impikan (ingin menjadi pilot, memiliki anjing & berkeluarga).

Kisah ini berkisarkan bagaimana dia membantu 'dia' di zaman kanak untuk kembali kezamannya. Sehinggalah pada penghujung cerita wujud pula 1 watak 'dia' di usia tua. 'Dia' yang telah tua mempunyai keluarga, anjing peliharaan, seorang pilot yang mempunyai kapal terbang sendiri. Semua yang dia inginkan pada zaman kanak2 dulu tercapai. Dengan gembira dia menjerit "I'M NOT A LOOSER!!!!!". Keesokan harinya dia telah menukar cara hidupnya. Berhubung dengan dunia luar, menghargai pekerjanya dan peluang yang ada padanya. Mencari jalan bagi mencapai impiannya dan bagi memastikan he's not a looser.

Saya amat tersentuh apabila dia menjerit 'I'M NOT A LOOSER' dengan riak muka yang amat gembira dengan tangan yang didepang seolah menadah kesyukuran yang tidak terhingga. Seronok bila mengetahui yang kita akan menjadi seseorang yang kita impikan. Oleh itu, bagi memastikan I'M NOT A LOOSER, saya perlu bekerja keras agar apa yang diimpikan tercapai.

Jangan putus asa & jangan lemah semangat!!!!! Teruskan berjuang bagi memastikan yang I'M NOT A LOOSER!!!!!!


Fikir-fikirkanlah...

Thursday, April 2, 2009

Uniform & pengenalan



Uniform adalah pengenalan mudah bagi seseorang. Mudah bagi kita untuk mengenali atau mengetahui pekerjaan seseorang berdasarkan uniform atau pakaian seragam mereka. Polis, tentera, jururawat, doktor, mahupun pelajar mempunyai identiti sendiri. Mereka juga mempunyai ciri-ciri serta syarat-syarat yang tersendiri.

Sebagai contoh; Polis. Sesiapa yang ingin memasuki atau berkhidmat dalam polis diraja Malaysia, sudah pasti perlu memenuhi segala syarat-syarat yang telah ditetapkan. Tahap ketinggian, kesihatan tubuh badan, kelulusan akademik dan sebagainya. Sekiranya salah satu daripada syarat-syarat yang ditetapkan tidak dapat dipenuhi, permohonan anda mungkin akan ditolak.

Begitu juga dengan kita. Untuk menjadi insan yang cemerlang, kita perlu mempunyai sifat dan ciri-ciri orang yang cemerlang! Apakah ciri-ciri orang yang cemerlang? Bagaimana untuk menjadi orang yang cemerlang?

Setiap pelajar pasti ada keinginan untuk berjaya. Walaubagaimanapun, berjaya adalah subjektif dan bergantung dengan tafsiran masing-masing. Secara umumnya, ia membawa maksud mendapat A dalam semua mata pelajaran. Oleh itu, setiap pelajar perlu membuat permohonan untuk berjaya dan cemerlang. Bagaimana? Mereka perlu tahu dan faham setiap syarat-syarat yang perlu untuk berjaya! Dan kemudian mempraktikkannya untuk memastikan permohonan mereka berjaya.

Konsep yang sama dipraktikkan untuk menjadi muslim atau muslimah yang sejati. Perlu buat permohonan. Tahu dan faham syarat-syarat untuk lulus. Kemudian mempraktik atau mengamalkannya bagi memastikan diri berjaya.

Fikir-fikirkan...

Inilah cerita aku...

Wednesday, April 1, 2009

Arus & Sungai




Air sungai akan sentiasa mengalir. Mengalir ke hulu dan berakhir di muara. Aliran yang terhasil digelar sebagai arus. Setiap sungai pasti ada arusnya. Yang membezakannya hanyalah deras ataupun perlahan. Ia adalah hukum alam. Kejadian ini diguna pakai dalam kehidupan seharian kita. Sebagai contoh;

1. ‘kita perlu hidup mengikut arus perdana’
2. ‘Aku sekadar hidup mengikut arus’
Ayat yang pertama tampak sungguh bersemangat. Dan ayat yang kedua pula adalah sebaliknya.

Tetapi sekiranya diperhatikan, timbul persoalan: ‘kenapa kita hidup mengikut arus?’ cuba kita duduk & termenung sebentar sambil merenung sungai. Kita akan lihat air yang mengalir. Apakah yang akan turut sama mengalir bersama arus sungai tersebut? Hanyalah daun-daun kering, ranting-ranting kayu yang telah mati dan jatuh kedalam sungai. Serta yang paling menyedihkan jika sepanjang kita termenung tersebut terdapat sampah yang turut sama mengalir mengikut arus!.

Soalan lagi: Adakah ikan yang hidup didalam sungai itu hidup mengikut arus sungai tersebut? Adakah binatang lain yang turut hidup di dalam sungai tersebut mengalir mengikut arus?

Jadi, adakah kita ingin menjadi seperti daun dan ranting kayu yang telah mati dengan hidup mengikut arus?! Dan adakah kita ingin menjadi sampah dengan mengotorkan sungai dan sekadar hidup mengikut arus!!!

Arus perdana, arus kehidupan terkini. Penuh dengan teknologi dan hiburan tanpa had. Hiburan di agungkan dan barat didaulatkan. Arus inikah yang perlu diikuti?!

Fikir-fikirkanlah.

Inilah cerita aku...

Moral of the Story

Sedang duduk sendirian, saya teringat kepada seorang sahabat. Sekarang dia bekerja sebagai cikgu di sebuah sekolah di Perak. Saya mengenalinya semasa kami sama-sama belajar di Universiti Islam Antarabangsa di Gombak. Dia belajar dalam jurusan Ilmu Wahyu. Manakala saya pula dalam jurusan Ekonomi. Saya mengenalinya ketika sama-sama menyertai sebuah syarikat motivasi sebagai fasilitator.

Menurutnya, dia akan mencari moral of the story atas setiap yang berlaku kepadanya pada setiap hari. Biarpun apa yang berlaku adalah perkara yang menyedihkan atau memenatkan.

Oleh itu, saya ambil ia sebagai amalan seharian saya. Ia banyak membantu memberi motivasi kepada diri saya. Kita tidak akan mudah putus asa, patah hati dan menyalahkan diri sendiri atau keadaan. Kita akan sentiasa mencari sesuatu untuk memotivasikan diri kita. Ia amat-amat membantu. Dan yang paling penting, ia dapat membantu kita mengawal emosi dan tekanan yang datang.

Cari dan fikirkan perkara yang baik sahaja. Senyum dalam setiap keadaan.

Kalau tak percaya cubalah. Tetapi jangan sesekali rumusan dan kesimpulan anda berakhir dengan menyalahkan takdir dan kejadian Allah!


Inilah cerita aku...
Related Posts with Thumbnails