Tuesday, January 5, 2010

Terimbau kenangan lalu

2 hari yang lepas, aku dan suami keluar untuk melangsaikan segala bil-bil yang masih tertunggak. Banyaknya bil yang perlu diselesaikan, bil air, elektrik, astro, kad kredit dll. Ansuran kereta lagi.. huh banyak betul tuntutan. Beginilah lumrah kehidupan sekarang. Belum diambil kira perbelanjaan harian, duit petrol dan sebagainya. Duit umpama air yang mengalir laju keluar dari dompet. RM1000 habis sekelip mata sahaja.

Pagi itu kami ke Bank Islam dahulu. Hanya suami yang masuk ke bank. Aku hanya menunggu didalam kereta. Sambil menunggu, aku memandang seorang lelaki yang duduk di depan pintu bank sambil menjual kekacang. Terdetik dihati ini, berapa sangatlah yang dia akan dapat dengan hasil jualannya. Melihat dari segi luaran, dia mempunyai fizikal yang kuat. Tubuh pun tidaklah kurus, cengkung atau kelihatan tidak berdaya. Umur pula dalam lingkungan 40an. Kenapa tidak dia mencari pekerjaan yang mampu mendatangkan hasil yang lebih? manfaatkan segala nikmat yang Allah berikan padanya? Kemudian terlintas pula difikiran, mungkin luarannya sahaja kelihatan bertenaga tetapi dalaman pula mempunyai cerita disebaliknya. Rezeki masing-masing mengikut apa yang kita usahakan.

Sedang khusyuk berfikir tiba-tiba keluar seorang lelaki dari bank tersebut. Terkejut aku melihat sesusuk tubuh yang aku pernah kenali dulu. Aku amati wajahnya. Ya, tak salah rasanya. Dia berjalan kearah keretanya yang dipakir bersebelahan keretaku. Hampir sahaja aku mengambil dan mendail telefon bimbit ku. Nasib baik fikiran ini masih waras dan laju sahaja mengahalang perbuatan ku. Nasib baik juga dia tidak memandang kearahku.

Dia adalah adik kepada seorang sahabat lama. Sahabat yang pernah menjadi teman. Kini masing-masing mendiamkan diri. Tidak lagi mampu menjadi sahabat maupun teman. Minta dijauhkan daripada bertemunya. Bimbang terimbau segala ingatan yang menyakitkan dan memeritkan. Biarlah aku terus dengan kehidupanku tanpa ada kenangan lalu. Aku benci segala sejarah hidup ku. Biarkan aku berdiri demi masa hadapanku.

Fikir-fikirkanlah...
Related Posts with Thumbnails