Alkisahnya, adik saya adalah seorang penjahit manik. Baru-baru ini, dia mendapat tempahan dari seorang tukang jahit untuk menjahit manik pada baju tempahan pelanggannya. Alhamdulillah ada rezeki untuk adik saya. Pelanggan tersebut adalah isteri 'somebody'.
Sebelum memberi tempahan tersebut, tukang jahit berkali-kali berpesan kepada adik saya agar menjaga dan menjahit kain tersebut dengan hati-hati.Antara pesanannya, jahit elok-elok, jangan kena air atau basah. Jangan kena panas. Untuk menambahkan lagi rasa hati-hati adik saya, tukang jahit itu menyatakan harga kain tersebut. Nak tau berapa harganya? RM350 semeter. Fuh!! memang perlu berhati-hati.
Kain jenis sutera Italy. 4 meter = RM1,400.00. Bagi saya ia sangat mahal. Bagi mereka yang ada-ada mungkin ia adalah perkara biasa. Ini membuatkan saya berfikir dan insaf. Kita baluti badan semasa hayat kita dengan kain yang begitu mahal. Namun ada kekadangnya, kain berharga mahal tetapi tak mampu membaluti keseluruhan tubuh. Atas tujuan apa pula kita membeli dengan harga yang begitu tinggi? Harap tiada sifat ujub yang lahir disebalik itu.
Adakah begitu juga sifat kita atau harga pakaian kita semasa bertemu Allah kelak? Berapa harga kain kafan kita nanti? RM250 semeter? atau RM2.50 semeter?
Bagaimana pula amalan kita? adakah semahal dan setinggi atau lebih tinggi dari harga kain kita? Jangan pula lebih rendah atau tiada nilainya. Nauzubillah...
Fikir-fikirkanlah...
