Pages

Thursday, December 30, 2010

MY NEW HOBBY & NEW PROFESSION

Assalamualaikum w.b.t

Saya nak tunjukkan hobi terbaru saya. Sebenarnya minat dengan benda alah ni dah lama. Cuma tak berkesempatan. Dulu dah pernah cuba, tapi tidak diteruskan. Kali ni, bersempena dengan tahun baru yang bakal menjelma, saya berazam untuk menjadikannya sebagai satu minat dan hobi. Dan ia juga memungkinkan untuk menjadi salah satu punca pendapatan saya!...

Nak tau apa dia? jom lihat gambar ini....





SULAMAN MANIK & LABUCI

Sekarang masih dalam proses pembelajaran dan latihan. Selepas ini anda mungkin menjadi salah seorang pelanggan saya ;-)

Fikir-fikirkanlah...

PAGI YANG AGAK MEMENATKAN

Assalamualaikum w.b.t


Alhamdulillah sampai juga aku ke pejabat. Pagi ni aku nak cerita kisah yang berlaku di sepanjang perjalanan aku ke office. Hari ni pagi-pagi lagi suami dah bersiap nak ke mesyuarat sekolah. Tambahan pula dia adalah pembentang pada pagi ini. Alhamdulillah semua kelengkapan anak-anak telah siap dia sediakan (beg & kelengkapan ke nursery). Dia juga dah sediakan semua kelengkapan pumping ku (untuk dibawa ke pejabat). Terima kasih hubby, you are the best for me (syahdu lah pulak). Sebelum keluar dia dah pesan "Ummi, abang pergi dulu. Susu Aiman je yang abang belum isi dalam beg. Ummi ambillah nanti". Dengan yakin aku menjawab "ok!"

Tudung pun masih belum siap digosok. Jam sudah pun menunjukkan jam 7.45. "Ayyooooo... aku dah lambat ni" getus hatiku. Cepat cepat cepat. 'Anan bangun, kita pi sekolah' kejutku secara berbisik ke telinga Anan. Si Aiman dah memang berjaga dan menangis kat ruang tamu sambil memerhati umminya lalu lalang. Macam-macam mainan dah dilambakkan didepan sikecil itu supaya diam. Tiada satu pun permainan yang menarik minatnya.

Ok, sekarang ummi dah siap. Jom Aiman, aku pun mendukung Aiman. Tiba-tiba hidung ku terbau bau yang kurang menyenangkan. Allah!, berak pula si Aiman ni. Nak tak nak terpaksalah aku basuh dulu. Aku cabut semula tudung, sinsing lengan baju dan angkat Aiman ke bilik air. Siap cuci, aku letakkan semula dia ditilam yang berada diruang tamu. Letak je, dia dah mula meraung semula. "kejap ye Aiman, ummi nak ambil pampers ni. Kejap je" Aku masuk ke bilik, tengok si Afnan masih lagi lena tidur. Ish bila lah si anak bertuah ni nak bangun. Sesudah pakaikan Aiman, saya ambil barang-barang dan bawa turun ke kereta. Kemudian naik semula untuk dapatkan anak-anak.

Alhamdulillah, aku masuk rumah, tengok Afnan dah bangun. Dia duduk disisi Aiman sambil menenangkan Aiman yang tadinya menangis. "Ummi, Aiman nangis" kata Afnan. Tersenyum aku seronok bila melihat dia pandai menjaga adiknya. Biarpun umurnya baru mencecah 2 tahun 3 bulan, namun dia sudah pandai dan faham untuk menjaga adiknya.

Aku terus menyapanya "Good morning Afnan, jom kita pegi sekolah". Baru je bertinggung nak angkat Aiman, terus saja dia hulurkan botol susu kosong. "ummi, susu!" alaaaaa dia nak susu lah pula. "Kita minum susu kat sekolah ye". Dia gelengkan kepala sambil merengek "susu, susu, susu...." Nak tunjuk perasaan lah pulak. Yelah yelah.. ummi mengalah, ummi buatkan. Aku pun terus kedapur dan buatkan dia susu botol sederhana. "Nah susu, jom kita ke sekolah". Nasib baik dia tak buat perangai. Terus saja di ke pintu dan keluar mencari kasutnya. Aku dukung si Aiman dan memimpin Afnan.

Setelah semunya berada dalam kereta, dengan lafaz Bismillah kami memulakan perjalanan. Selang 5 minit, kami sampai di sekolah Afnan. "Babai Afnan.." dia disambut oleh cikgunya dan terus sahaja masuk ke sekolah. Saya masuk semula ke kereta dan menyambung perjalanan. Dalam kereta kepala ligat memikirkan barang-barang keperluan lain. Bimbang tertinggal. Ya Allah!!!! susu Aiman tertinggal. Lupa nak ambil tadi. Alamak, terpaksa aku patah balik ke rumah. Dah lah jalan ni banyak bonggol-bonggol. Semua ni melambatkan aku! Waaaaa....

Sampai dirumah, Alhamdulillah jiran ada diluar sedang sapu sampah. Aku terus jerit sambil berjalan agak laju "kak, tengokkan Aiman ye, dia ada dalam kereta. Saya nak ambil susu dia tertinggal" akak tu pun menjawab sambil menjengukkan kepala melihat kereta aku. Dalam keadaan tergesa-gesa itu, sempat lagi akak tu buat sesitemuduga dengan aku. "Abangnya mana?" Aku pun menjawab "Dah hantar. Ni susu Aiman tertinggal, tu yang saya balik ni". Ingatkan habis kat situ aje, rupanya masih ada soalan tambahan "Abangnya hantar kat mana? lain ke dengan adiknya?" Adus..... perlukah aku menjawab atau terus aje berlalu pergi sebab sememangnya aku dah lambat. Atas rasa tanggungjawab, aku meyambut persoalannya, bimbang pula nanti menjadi tanda tanya yang boleh menghantui hidup dia. "Abangnya hantar kat nursery lain, adik dia ni nak hantar kat rumah orang" jawab aku dalam nada tergesa. "Eh, kenapa tak hantar ke sekolah yang sama?" eh eh eh... ada lagi soalan dia rupanya.... ingatkan dah lulus dah aku tadi.. tak boleh jadi ni. Aku masih juga menjawab soalan dia sambil berjalan meninggalkan dia. Lantaklah dia dengar ke tidak apa yang aku jawab tadi. Harap-harap dia fahamlah.

Aku keluar rumah, terus ucapkan terima kasih pada kakak tadi dan langsung masuk ke kereta sebelum soalan berangkai dia keluar buat kali ke dua. Hidup enjin, teruskan pemanduan. Nasib baik Aiman tak menangis. Fokuskan kepada pemanduan. Alhamdulillah sampai di rumah ibu Ani. Pengasuh Aiman yang baru. Tanpa mematikan enjin kereta, aku terus keluar dan ke tempat duduk Aiman di belakang. Alaaa tidur rupanya dia. Patutlah senyap je. Aku angkat dia perlahan-lahan bimbang dia terjaga. Bila didukung je terus dia terjaga. Ibu Ani menyambut dia dan terus membawa dia kedalam rumah. Aku terpinga-pinga. Beg Aiman masih ditangan. Si Ibu Ani dah masuk kedalam rumah. Habis siapa yang nak ambil beg Aiman ni? Nampak gayanya akulah yang kena bawa masuk.

Aku kembali ke kereta dan mematikan enjin dan terus masuk ke dalam. "Assalamualaikum.." Sapa aku sambil bersalam dengan Ibu Ani. Aku terus menerangkan apa yang patut. Susunya berapa, macammana nak buat dan pelbagai lagi. Ingatkan dah habis aku buat penerangan, aku boleh say goodbye. Rupa-rupanya dia pula buka mulut dan bercerita itu dan ini. Ramahnya Ibu Ani ni. Aku pun melayan juga. Bimbang dia terasa kalau aku meninggalkan Aiman tergesa-gesa. Aku pun turut sama bercerita. Cerita punya cerita, aku kerling jam di dinding dah menunjukkan pukul 8.45. Ya Allah, aku dah 15 minit lewat dari waktu pejabat! Aku pun segera minta diri.

Masuk ke kereta dan meneruskan perjalanan. Sampai di simpang di depan lorong rumah Ibu Ani, hati berbelah ke kiri atau ke kanan. Dua dua pun boleh, kalau ke kanan perlu tempuh 1 lagi simpang. Aku pun memilih untuk ke kiri. Masuk sahaja simpang tersebut, mata terus terpandang jentera besar yang dipandu perlahan berada dihadapan (kapal korek). Adus, kenapalah benda alah ni ada kat sini. Terasa rugi tak memilih jalan sebelah kanan. Terpaksalah aku membontoti kenderaan tersebut. Sampai di sebuah simpang, Alhamdulillah dia kearah yang berbeza dengan aku. Aku terus sahaja memecut laju.

Aku memandu agak laju dan sebelum sampai di sebuah simpang, dari jauh aku sudahpun memberikan signal sebagai isyarat aku ingin masuk ke simpang tersebut. Kereta yang sememangnya ada disimpang tersebut memberi laluan kepada aku. Apabila aku membelok, tiba-tiba ada seorang perempuan melintas jalan dan dia berjalan sambil melenggang. Terkejut beruk aku membrekkan kenderaan. Sakitnya hati aku bila melihat dia dengan selamba melenggang dan berjalan perlahan. Tiada riak takut, terkejut atau rasa bersalah di wajahnya. Bukan setakat itu, tiada rasa untuk berjalan pantas bila menyedari ada kereta datang. Huh!!! geramnya aku. Dah banyak sangat makan belimbing besi ke orang Malaysia nih! Atau rasa dah lama sangat hidup? Kalau kena langgar kang barulah nak salahkan orang tulah, orang nilah. Salah sendiri tak nampak!

Alhamdulillah masuk hiway MRR2. Terus bagi signal, aku terus masuk ke lorong laju. Hajat hati nak memecut. Ada pula hamba Allah yang perasan laju duk kat lorong tu. Agaknya dia rasa macam bawah 120km/j, tapi sebenarnya dia bawa 60km/j. Aduh aduh aduh... macam-macam perangai manusia kat dunia ni. Tak perlu cakap dunialah. Kat selangor ni je dah cukup. Daripada aku sakit hati, baiklah aku beralih ke lorong ke-2 dan memandu dengan tenang. Lagi pun aku dah sememangnya lambat. Swap kad pun dah memang merah! lantak lah.

Aku memandu tenang terus ke pejabat. Aku parkir di tempat sama seperti semalam. Tempat yang aku kena saman tak bayar parkir. Tak pasal-pasal aku bayar gaji orang MPAJ semalam. Keluar kereta dan swap kad. Jam menunjukkan hampir 9.15 pagi. Aku selamat sampai di pejabat. Alhamdulillah....



Fikir-fikirkanlah...

Wednesday, December 29, 2010

ROTI GULUNG SARDIN

Assalamualaikum w.b.t

Dah lama tak buat entri masak memasak. Juadah ni buat untuk sarapan pagi tadi. Alhamdulillah sempat gak masak. Hubby minta nak makan untuk sarapan. Sebagai isteri, kita adalah yang menurut perintah ;-) seronok dapat buat sarapan untuk family kan kan kan...

Ini memang resepi keluarga. Kuih ini juga adalah antara yang paling hot jualannya semasa kami berkedai dulu ;-) tanpa melengahkan masa lagi, jom tgk camne nak buat roti ni.

Bukti tak masuk minyak!! masih nampak struktur roti yang berwarna putih!



Bahan-bahannya;
1 buku roti - kukus
1 biji telur (guna sebagai gam untuk melekatkan roti)

Bahan untuk inti;

1 tin sardin
1 biji bawang besar - mayang
5 biji cili padi - potong halus

Bahan untuk menggoreng;
1 senduk tepung gandum
1/2 senduk tepung goreng adabi
sedikit garam
sedikit pewarna kuning telur

Cara;

1. Kukus roti sehingga lembut (lebih kurang 5 minit) jangan sampai lembik
2. Inti; goreng bawang dan cili. Dah garing, masukkan sardin. Goreng sambil hancurkan sardin
3. Gulung roti bersama inti sardin. Pastikan semasa menggulung, tarik dan ketatkan roti bagi mengelak minyak masuk.
4. Gam roti dengan telur
5. Bancuh kesemua bahan tepung goreng
6. Celup roti dalam tepung dan goreng sehingga garing. Pastikan anda goreng dalam minyak yang banyak dan panas.


Tips: Gunakan roti yang murah sahaja eg: 1 buku RM1.50. Tak perlu guna roti yang berjenama (terlalu lembut dan berpora). Ia bagi mengelakkan masuk minyak.

Fikir-fikirkanlah...

AKU BISU!!!

Assalamualaikum w.b.t
Semoga semua sahabat sentiasa sihat dan berada dibawah rahmahnya. 

Alhamdulillah saya juga sihat
Tubuh saya sihat
Mata saya sihat
Tangan saya sihat
kaki, hidung, jari jemari dan segala anggota saya juga sihat
Cuma tekak saya kurang sihat.
Terasa berat dan luka
Menyebabkan saya kurang suara
Kadang-kadang tiada suara
Hanya kerana batuk


Allah tarik 1 nikmat dari saya
Harap ianya sementara
Dan bukannya lama
Aku bisu untuk seketika

Hanya dari 1 nikmat itu
saya tak mampu berkata-kata
Saya tak mampu berbual mesra
Hanya diam tanpa bicara

Betapa besar nikmat pemberianMu
Hargailah ia wahai manusia
Sebelum kamu menerima nasib yang sama
Baru kau sedar betapa seksa

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~


Alhamdulillah masih dikurnia jari jemari
Dipapan kekunci mampu menari
menulis segala yang tersirat dihati
Agar mereka dapat memahami
Setiap inci hasrat hati

TERIMA KASIH YA ALLAH...

Fikir-fikirkanlah...

Monday, December 27, 2010

ANAN TERIMA PADAHNYA

Assalamualaikum w.b.t


Kalau melihat pada tajuknya hampir sama dengan tajuk novel 'Aku Terima Nikahnya'. Tapi yang ini versi yang berbeza ;-) Ini cerita tentang seorang budak nakal yang terima padah akibat kenakalannya. Rasa nak tergelak pun masih ada lagi.

Alkisahnya, kelmarin saya ada membeli serba sedikit barang untuk 'My New Hobby'. Si Afnan ni biasalah, kalau barang-barang yang kita beli tu, cepat je dia nak selongkar. Dan kalau dia nampak ada yang berkenan dimata, ada sajalah ideanya nak buat apa. Tak perlu nak cerita banyak, kita tengok aje aksi dia;

 Anan tiba-tiba datang dan menangis "ummi........" Kitorang pun pelikl ingatkan kenapa, rupa-rupanya.....

Hahahahaha.... dia tersangkut dengan benda bulat tu.....

 keropok tetap tak lepas dari tangan hahahahaha

Abah tolong lepaskan sambil memberi tazkirah panjang...

Abah: Anan janji tak buat lagi!
Anan: ha! (sambil angguk)
Ummi: Hahahahahahaha....



Nak tau apa benda bulat tu?
*
*
RAM
 Hahahahah Anan... Anan....
 Apapun.. kau telah ceriakan hari ummi mu.. Love you son..

Fikir-fikirkanlah...

RENTETAN SONOTRON AIMAN

Assalamualaikum w.b.t

Atas permintaan dan rasa ingin berkongsi, saya ingin ceritakan kisah si kecil Aiman (anak ke-2 saya). Alhamdulillah entri saya berkenaan sonotron banyak membantu sahabat-sahabat lain dalam mencari perkhidmatan ini. Ada beberapa orang juga yang menghubungi saya berkenaan topik tersebut. Tak sia-sia berblog. Sekurang-kurangnya boleh berkongsi info.

Saya berjanji dengan sorang sahabat akan menceritakan perkembangan anak saya setelah menggunakan sonotron.

Untuk pengetahuan sahabat, kedua-dua anak saya mendapatkan rawatan sonotron (Afnan & Aiman). Afnan alhamdulillah beransur pulih selepas rawatan tersebut. Tetapi Aiman keadaannya masih sama dan tiada sebarang perubahan walaupun telah berkali-kali mendapatkan rawatan tersebut. Melihatkan keadaannya yang masih belum sihat, kami memutuskan untuk mendapatkan rawatan di Klinik Shanaliza. Disana, Aiman didapati 'penat' (doc kata Aiman paru-paru infection) dan dikehendaki menjalankan rawatan Nebulization (Neb). Kami berulang alik selama seminggu ke Klinik tersebut untuk mendapatkan rawatan Neb. Dia perlu di'neb' setiap hari (pagi).

Gambar hiasan kaedah Neb

Selain diwajibkan untuk Neb, dia juga dibekalkan dengan inhaler. Kami perlu pamkannya 6 kali sehari, 2 puff untuk sekali pam. Ubat yang digunakan untuk inhaler tersebut adalah vintolin. Seminggu mertua saya terpaksa tinggal dengan saya untuk menjaga Aiman. (Terima kasih abah & ma).

Alhamdulillah setelah seminggu Aiman beransur pulih dan doktor sahkan yang paru-paru dia pun sudah pulih.  Malangnya, 2 hari selepas dia dihantar semula ke nursery, dia kembali dijangkiti sakit yang sama (batuk berkahak). Kami rujuk kembali dia ke Klinik Shanaliza, doktor amat terkejut dengan keadaan Aiman. Berdasarkan rentetan kes tersebut, dia menasihati kami untuk bertukar nursery. Dalam tempoh seminggu kami terpaksa mencari nursery baru untuk Aiman dan Afnan. Saya juga terpaksa mengambil cuti (tanpa gaji) selama seminggu untuk menjaga Aiman dirumah.

Memandangkan saya bercuti, kami bawa Aiman & Afnan pulang ke Bagan serai, Perak. Kami refer ke Klinik Pakar Kanak-Kanak Ho di Parit Buntar. Mereka sememangnya mempunyai rekod kesihatan diklinik tersebut. Disana, Aiman turut dikehendaki membuat Neb setiap hari selama kami berada disana (lebih kurang seminggu) - Neb 1 kali pagi, 1 kali malam. Inhaler tetap perlu diteruskan.

Balik semula ke KL, Alhamdulillah Aiman dah beransur pulih. Dia pulih sepenuhnya. Tetapi baru 2 hari lepas di dijangkiti selsema dan batuk semula. Kami masih continue inhaler. Arahan doktor, teruskan inhaler sehingga tiada bunyi batuk.

Semoga anak-anak ku akan pulih dari segala sakit dan sentiasa sihat & ceria dalam menjali kehidupan seharian mereka.


Fikir-fikirkanlah...

JALAN-JALAN: KUCHING - MAKAN-MAKAN

Assalamualaikum w.b.t
Hari ni saya nak cerita pasal makanan Sarawak yang kami makan. Sepanjang kami berada di Sarawak, sempat jugalah kami merasa serba sedikit makanan orang Sarawak. Antaranya;

KUIH MUIH

 Antara kuih Sarawak yang kami makan adalah seperti didalm gambar dibawah. Nama kuih-kuih tersebut saya tak tau. Terlupa pula nak tanya & catit.



Kuih yang dalam gulung daun tu rasa macam kuih jagung. Yang hijau tu kuih sagu yang siap dicampur kelapa. Kalau disemenanjung, kuih sagu disalut kelapa. Tapi di Sarawak, ia dicampur kelapa.Yang berbungkus macam pulut udang / pulut panggang tu memang pulut. Tapi ada 2 jenis, ada yang berinti dan ada juga yang pulut semata (tanpa sebarang inti). Sebelum beli kena tanya dulu.

LAKSA SARAWAK


Ia agak berempah. Kami makan untuk sarapan pagi. Ahli keluarga saya semua tak mampu untuk habiskan makan kecuali saya dan akak. Pada saya ok je. Syaratnya kena perah asam limau. Kalau tak rasa muak.

MEE KOLOK

Mee Kolok Goreng

Mee Kolok Sapi

Mee kolok ni sebenarnya nama mee tersebut. Meenya agak kerinting. Ia dihidangkan dalam 2 jenis hidangan. Iaitu; 1. Mee kolok sapi (sup daging) 2. Mee kolok goreng. Pada saya agak sedap juga ;-)

APAM BALIK


Apam balik yang ada di Sarawak dan semenanjung sama sahaja dari segi rupa. Tapi rasanya agak berbeza dari apam balik yang pernah saya rasa selama ini. Memang sedap. Lembut dan sedap. Ia dijual di pasar Satok. Kami beli, makan dalam perjalanan sahaja dah habis. Tak sempat sampai ke rumah. Dia ada dijual di pasar malam & pasar pagi di Satok. Sesiapa pergi mesti beli!


TEH C SPECIAL



Ia ala teh dangdut di semenanjung. Airnya ada 3 lapisan. Teh, susu & gula. Gula yang digunakan adalah gula apung. Kami minum di Kat's Kitchen dan di Midah. Antara 2 tempat tersebut, Teh C di Midah lagi sedap.


Fikir-fikirkanlah...

Thursday, December 23, 2010

JALAN-JALAN: KUCHING, - SERIKIN & KUCHING WATERFRONT & KEDAI PASU

Assalamualaikum w.b.t

SERIKIN



Masih bercerita tentang cuti di Sarawak. Tak kisahlah korang bosan ke tak, tetap nak bercerita juga. 18 December 2010, seawal jam 8.00 pagi kami sudah menaiki kenderaan menuju ke Serikin. Serikin adalah tempat wajib bagi mereka yang melancong ke Sarawak. Ia terletak lebih kurang 45km dari bandar Kuching.

Perjalanan melalui hutan dan pekan kecil dan tidak menempuhi sebarang bukit. Maksudnya tidak perlu turun & naik bukit. Ia adalah tempat membeli belah. Bagi mereka yang pertama kali datang kesini, pasti akan ada barang yang dibawa pulang. Pelbagai barangan yang dijual. Rasa macam nak diborong semua.

Bagi mereka yang ingin kesini, dinasihatkan untuk datang awal supaya senang nak cari pakir. Cuaca disini agak panas dan kurang sesuai bagi mereka yang membawa anak kecil. Pasar Serikin ini hanya dibuka pada hari Sabtu & Ahad seawal jam 8.00am - 2.00pm sahaja. Ia adalah deretan gerai-gerai kecil sepanjang jalan sejauh berkilometer. Saya tak pasti berapa kilometer.

Saya dan suami jalan pun tak habis sampai kepenghujung. Penat dan kesian kat anak-anak. Disini sahaja kami membeli sehingga terpaksa membeli beg tambahan.

KUCHING WATERFRONT



 Belakang tu bagunan DUN yang baru

Kami ke Kuching waterfront pada hari Ahad lepas. Ia juga adalah tempat wajib dikunjungi. Ia adalah tempat berehat / taman yang terletak di sepanjang sungai. Diseberang jalannya pula terdapat deretan kedai yang menjual pelbagai cenderahati. Kalau ada barang yang tak dapat di beli semasa diSerikin, anda boleh mendapatkannya di Kuching Waterfront.

KEDAI PASU



Tempat ini juga adalah tempat wajib bagi pelancong di Sarawak. Pelbagai jenis barangan yang diperbuat dari tanah. Bukan setakat pasu bunga, cawan, bekas letak alat tulis, balang, lampu, bekas habuk rokok, pasu hiasan, jug air dan bermacam-macam lagi.

Mungkin ada yang kata, buat apa nak beli, susah nak bawak balik. Jangan risau! anda cuma perlu pilih barangan yang anda inginkan, bayar, dan katakan bungkus. Mereka akan bungkus sebaik mungkin untuk anda bawa ia pulang menaiki kapal terbang. Anda tidak perlu risau akan pecah.

Kedai ini terletak di sepanjang jalan selepas trafik light yang menghala ke bandar Kuching.




Fikir-fikirkanlah...

JALAN-JALAN: KUCHING, - MUZIUM

Assalamualaikum w.b.t

Bergambar dihadapan muzium

Masih lagi cerita jalan-jalan di Sarawak. Hari ke tiga kami di Sarawak, kami telah ke Muzium. Pergi pun dah petang. Sebab hari tu hari Jumaat, so kami hanya mengisi aktiviti lawatan setelah solat Jumaat. Waktu pagi adalah waktu untuk berehat. Tetapi, bagi suami dan abang ipar saya, mereka mengisi waktu pagi tersebut dengan berurut. Tempatnya di pekan Batu kawa. Tukang urutnya adalah orang buta. Khidmat urut disediakan untuk lelaki dan perempuan. Suami kata best diorang urut.

Bila petang, masa untuk jalan-jalan. Kami ke muzium Islam yang terletak di bandar Kuching. Masuk adalah PERCUMA. Waktu tutup 4.30pm. Kami sampai disana pukul 4.00pm. Masih sempat untuk jalan-jalan.

Namanya Muzium Islam, tapi isi kandungannya tak banyak pun berkenaan perkembangan Islam disana. Yang banyak berkenaan tembikar, perkembangan mata wang, penjajahan, pejuang kemerdekaan dan lain-lain. Sepanjang yang saya tengok secara langsung, tak terpandang pula berkenaan Islam. Kalau saya terlepas pandang minta maaflah ye. Yang menakutkan bila lihat adat pada waktu kematian. Tetiba terasa seram.

Di hadapan Muzium di letakkan replika buaya tanah. Ia digunakan oleh orang dahulu (mungkin juga masih diamalkan sekarang) untuk menjaga tanaman mereka. Terdapat 2 replika, jantan dan betina. Diletakkan 2 mangkuk kecul sebagai mata dan serpihan kaca diatas badan buaya bagi menyerupai kulit buaya yang bersisik. (Gambar tak dapat nak ambil sebab orang lain pegang kamera)

Diingatkan, dalam muzium tidak dibenarkan mengambil sebarang gambar!


Fikir-fikirkanlah...

Wednesday, December 22, 2010

JALAN-JALAN: KUCHING, - RANCHAN RECREATIONAL PARK

Assalamualaikum w.b.t

Selepas dah penat jalan-jalan di Jong Crocodile, kami terus bertolak ke Ranchan recreational Park yang terletak di Ranchan (ye kot hehehehe). Tempat rekriasi, ada air terjun. Kalau nak berpiknik sesuailah. Air dia memang sejuk. Tiada air terjun yang tinggi. Tempat dia biasa je seperti tempat lain.

Kami memang dah masak siap-siap di rumah untuk makan & berkelah di sini. Yang bagusnya berkenaan taman rekreasi Ranchan ini adalah, dia mesra pengguna. Kenapa? sebab mereka sediakan laluan tinggi yang siap bertar di sepanjang perjalanan / sepanjang sisi sungai dan air terjunnya. Amat praktikal. Tak risau nak jatuh sebab kaki atau laluan licin. Juga tak risau kaki kotor dan berpasir selepas pulang daripada mandi manda.

Enjoy.....

Mandi-manda di Ranchan

 Berkelah di taman rekreasi Ranchan

Airnya memang sejuk.. best..


Fikir-fikirkanlah...

JALAN-JALAN: KUCHING, - JONG'S CROCODILE

Assalamualaikum w.b.t





Hari pertama kami di Sarawak, kami melawat ke Jong Crocodile. Lokasinya agak ke dalam. Perlu melalui jalan yang tidak bertar (sikit je). Perancangan asal ingin ke tempat Orang Utan dahulu. Tetapi memandangkan kami keluar agak lewat (9.30am lebih kurang) so terus pergi ke Jong Crocodile.

Nak masuk perlu bayar entrance fee. Bagi orang Sarawak RM10, non Sarawak RM16. Tempat ini memfokuskan kepada buaya sahaja. Tetapi ada juga binatang lain macam ayam, merak, monyet, ikan besar (tak ingat namanya).

Apa yang menarik tentang tempat ini adalah;

  1. Banyak buaya yang dipelihara. Dari sekecik-kecik buaya sampai sebesar-besar buaya. Kita dapat lihat secara dekat (amat dekat).
  2. Terdapat aktiviti memberi makan buaya (tarikan utama). Aktiviti ini berlangsung dari pukul 11.30am - 3.00pm
  3. Ada restoran yang menawarkan sup buaya. Anda berani untuk mencuba? saya TIDAK!!
  4. Terdapat sudut seperti muzium yang menempatkan kisah tragedi yang mambabitkan haiwan ini (berserta gambar) - uish.. memang tragis dan menakutkan.




 Antara aksi buaya semasa diberi makanan


Fikir-fikirkanlah...

JALAN-JALAN: KUCHING, SARAWAK

Assalamualaikum w.b.t



Selamat pagi semua. Alhamdulillah masih dapat bercerita disini. Lama saya menyepi. Menyepi ada sebab. Saya baru sahaja pulang dari bercuti di Kuching Sarawak bersama keluarga!... Satu aktiviti yang menyeronokkan dan menggembirakan. Ia boleh diakatakan sebagai rombongan. Sebab, kami pergi dalam kumpulan yang agak besar. Semua hampir ke semua ahli keluarga saya pergi. 9 dewasa & 2 kanak-kanak.

Kami bertolak dari LCCT pada 15hb December 2010, menaiki kapal terbang jam 3.25pm. Sampai di Kuching jam 5.30pm dan disambut oleh kakak dan abang ipar saya. Kami berada disana selama 6 hari, 5 malam. Pelbagai tempat kami lawat. Seronooookkkkk....... akan saya ceritakan tempat-tempat yang saya lawati sepanjang berada di Kuching dalam entri yang lain. Mungkin ia boleh dijadikan panduan untuk sahabat-sahabat yang ingin melancong ke Kuching. Jom cuti-cuti....

Selamat bertemu kembali.


Fikir-fikirkanlah...

Friday, December 10, 2010

SELAMAT HARI AIDS SEDUNIA

Assalamualaikum w.b.t

Pagi-pagi sedang bersiap untuk ke office, aku buka tv dan tangan laju menekan butang alat kawalan jauh 103. Dah semestinya rancangan Malaysia Hari Ini. Tajuk perbualannya adalah berkenaan HIV. Ooooo patutlah, rupa-rupanya hari ini adalah hari aids sedunia. Eh bukan 1 December ker? mmm ntahlah. Tengok semuanya pun pakai reben merah tadi.


Persoalan yang timbul dalam benak fikiran saya pagi tadi adalah, adakah hari ini patut diingati? kebiasaannya, kita memperingati hari-hari kebesaran atau bersejarah. Adakah ia salah satu daripada hari kebesaran atau bersejarah? Baguskah ia untuk kita ingati? Kalau kata untuk diperangi, setiap hari dan setiap masa kita patut perangi. Bukan hanya sekadar 1 hari sahaja.

Teringat kepada soalan yang diutarakan Wardina pagi tadi. Pelbagai kempen telah dibuat, tetapi kenapa angka pesakit Aids ini tiada pengurangan langsung. Seolah-olah terdapat kepincangan dimana-mana yang mungkin tidak diketahui. Tidak dinafikan kempen memang dijalankan disana sini. Namun ianya bermusim. Secara peribadi, jarang saya melihat kempen ini kecuali pada hari memperingatinya sahaja.

 Betul ke dengan penggunaan kondom dapat menghentikan aids? fikir-fikirkanlah

Antara aktiviti semasa kempen adalah pemberian kondom secara percuma beserta penerangan cara penggunaannya. Adakah ini membantu? mungkin bagi sesetengah kes. Tetapi itu bukanlah penyelesaiannya. Secara tidak langsung, cara ini menyatakan persetujuan kita kepada seks bebas dengan cara selamat!

Selain daripada seks bebas, perkongsian jarum bagi penagih dadah juga menyumbang kepada penyakit ini. Bagi masalah ini, kita dapat lihat kerajaan memerangi dadah, penagihan dan pengedarannya secara besar-besaran. Ia juga diadakan sentiasa. Adalah satu jenayah besar bagi mereka yang memiliki, menagih ataupun mengedar dadah. Masyarakat juga takut untuk menhampirkan diri dengan dadah. Sehinggakan ia digelar sebagai NAJIS dadah. Usaha kerajaan ini secara langsung dapat mengurangkan penularan wabak tersebut.

Namun, mengapa seks bebas tidak diperangi sehebat ini? Dalam keadaan dunia masa kini, maksiat berleluasa seenaknya. Anak muda yang belum cukup akal sudah didedahkan dengan keadaan ini. Pemberian kondom bukanlah suatu yang elok. Ia mungkin boleh disalah gunakan. Benteraslah daripada akarnya. Hentikan pusat hiburan. kurangkan atau hentikan acara-acara hiburan yang tidak bermanfaat. Tak perlu nak dihuraikan panjang lebar. Semua sedia maklum apa yang perlu dilakukan.

Apapun, berbaliklah kepada agama. Jadikan ia panduan hidup. Agama bukan letaknya disurau atau dimasjid sahaja. Ia adalah cara hidup yang sempurna. Jadikan agama penyuluh hidup. InsyaAllah hidup kita akan dijamin dunia dan akhirat.


Fikir-fikirkanlah...
Related Posts with Thumbnails