Pages

Monday, May 31, 2010

Israel Lancar “Operasi Angin Laut” Halang Armada Kemanusiaan Gaza “Freedom Flotilla “




May 30, 2010,

30 Mei – Pasukan ketenteraan Israel kini di bawah pengawasan dan arahan terus dari kerajaan Israel, telah bersedia untuk misi yang mereka namakan “Operation Sky Wind” / Operasi Angin Laut” bagi menyerang dan menangkap aktivis armada bantuan kemanusiaan Gaza atau Freedom Frotilla yang akan bergerak menuju ke Gaza dalam masa terdekat.

Sumber Israel melaporkan bahawa angkatan laut telah bersiapsedia dengan semua persiapan untuk pengambilalihan kapal-kapal tersebut, samada secara paksa jika perlu, dalam usaha untuk mengelakkan daripada konvoi tersebut berlabuh di pantai Gaza. Operasi ini dipimpin langsung oleh Komando Angkatan Laut Israel Mayor Jenderal Elizer Marom

Serangan yang dirancang meliputi empat tahap;

1. Tahap Amaran; Tentera Laut akan sentiasa berusaha untuk menghentikan kapal dari menghampiri garis sempadan yang ditentukan yang dikategori sebagai garis merah, apabila kapal menceroboh garis yang ditentukan, mereka akan diberi amaran bahawa mereka telah “melanggar undang-undang”.

2. Hentikan dan mengawal kapal-kapal tersebut; sekiranya kapal-kapal gagal mematuhi arahan Tentera Laut Israel, tentera laut Israel akan menyerang dan seterusnya mengambilalih lapan buah kapal yang mengangkut hampir 800 aktivis. Kapal-kapal akan dibawa ke Asdod Port dan aktivis akan ditahan di sebuah khemah besar yang telah dipasang untuk tujuan ini.

3. Diasingkan dan dihantar balik; tentera dan polis Israel memerintahkan para aktivis ditahan untuk menandatangani kenyataan menerima untuk dihantarbalik ke negara asal mereka, dan akan dihantar pulang melalui udara di Lapangan Terbang Ben Gurion.

4. Penangkapan sebelum dihantarbalik; sekiranya aktivis enggan dan menolak untuk menandatangani kenyataan untuk dihantar balik ke negara asal, mereka akan ditangkap, dihantar untuk pemeriksaan perubatan, kemudian dipindahkan ke Brigade Nahason milik Pentadbiran Penjara Israel sebelum dihantar ke Penjara Be’er Sheva Penjara dan kemungkinan penjara yang lain.

Mereka akan diadili dan dihantar pulang pada tahap seterusnya.

Sekitar 600 aktivis hak asasi manusia yang menaiki 8 buah kapal misi bantuan kemanusiaan menuju Gaza mengatakan bahawa mereka bertekad untuk sampai ke Gaza tanpa menghiraukan ancaman Israel.
Greta Berlin, juru bicara dari Gerakan Pembebasan Gaza, menyatakan bahawa “tidak ada yang akan menghentikan kapal ini, para aktivis hak asasi manusia tekad untuk mematahkan pengepungan dan sekatan Israel ke atas lebih 1.5 juta penduduk Palestin di Gaza, dan kami akan tetap menghantar bantuan kemanusiaan ini.” (imemc/alqudsol)

Sumber http://haluanpalestin.haluan.org.my/?p=3795

Fikir-fikirkanlah...

Sunday, May 30, 2010

CUCUR UDANG

Hari ni siap boleh buat makan petang. Saya buat cucur udang ni untuk keluarga perak bawa bekal balik ke Perak. Senang je nak buat. Lagi pun memang dah lama teringin nak buat cucur udang. Cuma tak de kesempatan.


Bahan-bahannya;

Beberapa ekor udang untuk diletakkan dibahagian atas.
3 cawan tepung gandum
Sawi
Taugeh
3 biji cili besarsedikit daun sadri
Sedikit garam
1 biji bawang besar mayang
1 paket mauripan (untuk mengembangkan adunan)

Bancuh semua bahan dan biarkan selama beberapa jam (saya biarkan dalam 3 jam). Apabila adunan dah naik. Panaskan minyak. Pastikan minyak yang digunakan banyak, cukup untuk merendam senduk. Panaskan senduk kedalam minyak. Apabila senduk dah cukup panas, masukkan tepung dan letak udang atas adunan. (senduk dugunakan bagi membentuk cucur menjadi bulat). Goreng sehingga masak.


Ini lah hasilnya bila dah masak. Hidangkan dengan sos. Kalau terlebih rajin, buat kuah kacang ;-)


Fikir-fikirkanlah...

MASAK LEMAK JERING

Salam buat semua.. waaa.. hari ni saya masak masakan orang pahang. Dah lama tak makan masak lemak jering ni. Atas permintaan biras saya, hari ni saya masaklah lauk ni. Ini memang kegemaran saya. Dulu hubby tak makan jering ni. Tapi sebab dah kawin ngan orang pahang, so dia kena lah belajar makan makanan orang pahang ;-)

Bahan-bahannya;

Beberapa keping Jering (yang dah bersemai) - potong kecik
3 ulas Bawang merah (tumbuk / blend)
1 ulas bawang putih (tumbuk / blend)
1 ulas bawang besar (hiris)
25 ulas cili padi / cili kampung (ikut suka & tahap kepedasan yang anda mahu) - tumbuk / blend
Sedikit kunyit
Santan
Garam secukup rasa
Ikan bilis ( sedikit jer - ni pun ikut suka) - tumbuk / blend
Minyak masak

Cara masak;

1. Panaskan minyak & goreng jering sehingga lembut. Angkat
2. Masukkan bahan tumbuk dan bawang yang dihiris termasuk kunyit - goreng sampai garing
3. Masukkan jering yang telah digoreng tadi
4. Masukkan santan. Masukkan garan secukup rasa & biarkan mendidih
5. Setelah betul-betul mendidih. Tutup api dan siap untuk dihidang.

Rasanya memang sedap. Inilah antara masakan kegemaran orang pahang (Kuala Lipis)
Selamat mencuba ;-)


Fikir-fikirkanlah...

Friday, May 28, 2010

SEASON 2 - CUTE BABY WITH C.H.O.C.O.L.A.T.E CONTEST

Salam buat semua. Kali ni saya nak mencuba tuah anak dan ummi dalam contest cute baby with chocolate. Contest ni anjuran szsh.blogspot & momguess.blogspot.

Anak ada 2. Tapi yang boleh makan & suka makan choclate sorang je. Yang sorang lagi baru 4 bulan, so masih belum boleh makan dan memang tak layak untuk masuk contest ni. Syarat nak masuk, anak hendaklah berumur 1 - 4 tahun.

Anak saya Afnan Mujahid ni memang suka sangat makan choclate. Pantang nampak choclate mesti nak. Sama je perangai dengan abahnya. Umur dia baru 1 tahun 8 bulan. Saya pun suka tengok dia makan choclate. Mesti sampai comot-comot mulut dia.

Ni lah rupa dia kalau tengah makan choclate. Harap-harap kali ni boleh menang ;-) Mana tau leh dapat grand prize hehehehe...

GRAND PRIZE FOR FINALE SEASON IS 3D2N PACKAGE @REDANG / LANGKAWI ISLAND & 70 PCS 4R SIZE PHOTO SPONSORED BY MOMGUESS.BLOGSPOT

Fikir-fikirkanlah...

MEE GORENG AKU

Salam semua. Cuti-cuti ni seronok dapat masak sarapan pagi. Masak biasa-biasa je pun. Kebetulan pulak keluarga sebelah perak sampai semalam. So memang kena masak sarapan lah kan. Pagi tadi saya cuma masak mee goreng je. Tapi bukan mee kuning. Ni mee jenama vits yang macam mee siput tu. Mee ni kena rebus dulu sebelum goreng.

Bahan-bahannya;

1 bungkus mee
sedikit daging
3 ulas bawang merah (mayang)
1 ulas bawang putih (ketuk je)
10 biji cili kering (rebus & blend)
Sawi
Sos tiram
Sos cili
Kicap manis

Cara masak;
  1. Rebus mee sehingga lembut dan toskan airnya.
  2. Panaskan minyak dan goreng bawang sehingga kekuningan
  3. Masukkan cili kering dan goreng sehingga garing / naik minyak
  4. Masukkan daging. Masak sehingga air daging kering
  5. Masukkan sos tiram, sos cili & kicap manis. Goreng kejap
  6. Masukkan mee yang telah direbus
  7. Akhir sekali masukkan sawi. Goreng & kacau sehingga agak kering kemudian angkat dan boleh dihidang.
Resepi ni ayah saya yang ajar. so kalau saya masak mee memang guna cara ni. Sedap... hubby suka masak macam ni. Tambahan pula cara ni mudah dan senang.

Fikir-fikirkanlah...

Thursday, May 27, 2010

WANITA SOLEHAH 2


Kau wanita solehah
Indah peribadi mu
Kemas tutur bicara mu
Redup pandangan mata mu
Cantik tingkah laku mu

Dirimu kau jaga
Hatimu kau pelihara
Dari segala noda

Kau utamakan agama
Dari segala hal dunia
Kau wanita sempurna
Impian si teruna

Bantulah aku kearahnya. Untuk menjadi wanita dan isteri solehah. Dalam aku mendidik diri. Supaya menjadi ibu mithali.

Aku sayang agamaku,
Aku sayang keimananku,
Janganlah engkau kurangkannya
Walau hanya sedikit cuma

nukilan asn
Fikir-fikirkanlah...

WANITA SOLEHAH


Fikir-fikirkanlah...

Wednesday, May 26, 2010

SAKARATULMAUT


Engkau hadir tanpa bicara
Engkau hadir tiada diduga
Bila? Dimana?
Tidak dapat diteka

Menyebut nama mu
Ketar seluruh tubuhku
Adakah engkau datang dengan mengetuk pintu?
Atau terus kau sambar mangsa mu?

Aku belum sedia...
Aku tak sanggup...
Kasihankanlah keluarga ku...
Aku sayang harta benda ku...

Semua itu tiada berguna
Kau tak endah rintihan berjela
Mahupun tangisan melata
Engkau tetap datang menyapa
Tidak kira tua atau muda

Engkaulah sakaratulmaut....

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Datangnya sendiri
Perginya berisi
Memisahkan roh daripada diri
Sakitnya tiada terperi
Semuanya terserah kepada bakti
Indah atau kelam tiada diketahui
Hanya agama penyuluh diri


Bertaubatlah sebelum dia menyapa kita. Sebelum dia menziarahi kita.


nukilan asn


Fikir-fikirkanlah...

CUTI-CUTI MALAYSIA - PANGKOR


Hujung minggu yang lepas kami sekeluarga menyertai family day anjuran pejabat saya ke Pualau Pangkor, Perak. Percutian selama 3 hari 2 malam di Pangkor Island Beach Resort. Seronok dan penuh dengan aktiviti pantai. Tambahan seronok kerana Pangkor Island Beach Resort ni mempunyai Jeti & pantainya yang sendiri (private jetty & private beach). Ia memudahkan pengunjung kerana tidak perlu bersesak dengan pengunjung dari resort yang berlainan.

Cuma yang susah sikit pun sebab kita bersama anak-anak yang masih kecil. So pergerakan agak terbatas dan barang yang perlu dibawa pun agak banyak. Nasib baik pergi ramai-ramai. Bolehlah bantu membantu. Sewaktu perjalanan pergi, bos tolong bawakan 2 luggage saya hehehe.. terima kasih bos.

Resort tu pun ok, cantik. Kami sampai pun disambut oleh kakitangan resort beserta nyayian-nyayian. Permandangan dari resort pun sangat cantik. Apa yang kurang menarik adalah, resort tersebut dibuat seolah-olah khas untuk foreign tourist. Surau tak da. Sejadah lagilah tak da kalau surau pun dah tak da.Toilet host pun tak da. Nasib baik ada arah kiblat dalam bilik. Kami datang atas program family day, so akan ada aktiviti solat berjemaah, qiammullail etc. Tapi tak dapat diadakan kerana tiada tempat. Pada hari kami sampai barulah dia kata ada peruntukan bilik untuk tujuan tersebut. Tapi untuk maghrib dan Isyak tak boleh guna bilik tu, hanya untuk subuh sahaja.

Dan resort tu banyak lalat. Mungkin musim hujan menyebabkan lalat banyak. Tapi agak kurang selesa kerana lalat tersebut terdapat di setiap bilik penginapan. Dalam bilik saya je ada lebih dari 5 ekor lalat. Yang menariknya, resort tu adalah tempat singgah burung enggang (hornbill). Bukan setakat hornbill, monyet & burung merak pun berkeliaran dalam resort tu.

Apa pun percutian kali ini amat menarik & seronok. Dibawah ni antara gambar-gambar kami sepanajng kami disana.






kredit buat mudme (tukang amik gambaq) http://www.underoneroof-fg.com/


Fikir-fikirkanlah...

BERFIKIRAN POSITIF - PART 1

Salam buat semua. Semalam saya berjalan-jalan di laman FB dan terjumpa sebuah laman sembang / forum yang membincangkan masalah yang dihadapi oleh sahabat laman tersebut. Tertarik pada masalah yang dihadapi oleh sahabat disana. Bagaimana nak berfikiran positif? lantas menarik minat saya untuk membuat entri disini bagi membincangkan masalah tersebut.


Jangan kata TIDAK!!

Perkataan tidak adalah perkataan yang negatif. Kalau kita awal-awal lagi dah katakan tidak / tak, maksudnya kita dah letakkan satu penghalang buat kita. Ayat yang biasa kita dengar;

1. Aku tak bolehlah
2. Aku tahu, tapi... ntahlah
3. Tu yang susah tu..

Dah terang-terang ayat tu bagi kesan negatif pada kita. So, jangan sesekali guna ayat-ayat sebegitu dalam percakapan seharian kita. Tukar ayat tersebut kepada ayat yang positif;

1. Insyaallah aku boleh buat benda ni
2. Senang je ni sebab aku dah tahu
3. Boleh punya, cikai je ni

Yakinkan diri sendiri dan percaya pada diri. Katakan yang kita boleh. Malaysia boleh!! ;-)

Mulai hari ini, buang perkatan tak / tidak / no dalam pertuturan seharian. Semoga berjaya untuk anda & untuk saya.

Tak usah nak cakap banyak. Perkara macam ni kalau kita bincang panjang-panjang orang malas nak baca. So kita pendekkan aje.

Fikir-fikirkanlah...

Monday, May 17, 2010

CIKGU DAHULU CIKGU SEKARANG


Cikgu dahulu
Tegasnya hanya tuhan yang tahu
Jangan harap murid nak merapu
Salah sikit konfirm kena bambu

Cikgu sekarang
Tegas bukan kepalang
Anak murid pula suka tunjuk belang
Nak bambu karang, mula dia buat wayang

Cikgu dahulu
Merotan tanpa segan silu
Nak ajar murid agar berilmu
Supaya bijak fikiran dan tingkah laku

Cikgu sekarang
Mengajar dengan tenang
Murid bising, cukup sekadar pandang
Baru angkat rotan, murid dah tunjuk penendang

Cikgu dahulu
Mak bapak datang berteleku
Minta cikgu beri restu
Agar anak dapat ilmu

Cikgu sekarang
Mak bapak datang serang
'Engkau ajar je jangan nak pegang-pegang'
Kalau tidak, surat saman datang melayang

Cikgu dahulu
Murid salah dia luku
Balik rumah tak berani nak ngadu
Takut bapak tambah lagi satu

Cikgu sekarang
Marah murid garang-garang
Esok confirm ramai 'pelawat' datang
Nak buat liputan isu 'perang'

Sabarlah guru sekarang...


nukilan asn

Khas buat hubby, semoga kau tabah dan terus memberi. Akukan sentiasa disisi. Menemanimu menumpahkan bakti.

Selamat Hari Guru Buat Mohd Khairul Azmi Idris

Fikir-fikirkanlah...

TERIMA KASIH CIKGU


Terima kasih cikgu
Engkau banyak membantu
Ajar kami satu-satu
Dari tak tahu sehingga tahu

Terima Kasih Cikgu
Engkau berbakti tanpa jemu
Mencurahkan kami ilmu
Siapalah kami tanpa kamu

Terima kasih cikgu
Engkau ibarat matahari
Menerangi dan terus menerangi
Setiap tempat pelusuk negeri

Cikgu
Walau kamu jauh dimata
Jasamu tak kan kami lupa
Kami kenang hingga hujung nyawa


nukilan asn


Terima kasih yang tidak terhingga buat guru-guru yang pernah mengajar aku di SK Berchang, SMA Al-Maidah Addiniah Padang Tengku & UIA. Juga kepada mereka secara langsung atau tidak langsung telah memberikan ku ilmu walaupun engkau tidak berjawatan guru. Terima kasih yang tidak terhingga. Aku amat menghargai kamu semua.




Fikir-fikirkanlah...

Thursday, May 13, 2010

ANAK TERBUANG


Hari ini aku dilahirkan
Dari pintu rahim seorang perempuan
Belum sempat keluar tangisan
Dengan kejap mulutku ditekan

Meronta aku mohon bantuan
Lepaskan aku tolonglah kasihan
Kenapa begini kau perlakukan
Setelah aku kau lahirkan??

Bukankah aku darah daging mu
Bukankah engkau adalah ibuku

Apa kesalahan ku?
Apa kesilapan ku?
Apakah dosa ku?

Adakah aku yang bersalah?
Sehingga aku kau lahirkan?
Adakah aku pembawa malang?
sehingga aku sanggup kau buang?

Belum sempat nikmat ku rasa
Dengan rakus kau cabutkan nyawa
kalau ini nasib yang ku terima
Sungguh tak mahu aku menjenguk dunia

KAU CAMPAK AKU
KAU BUANG AKU
KAU TINGGALKAN AKU
KAU BUNUH AKU

Tapi sebelum aku mati
Antara kita ada janji
AKAN KU TUNTUT WALAU KAU MATI


Fikir-fikirkanlah...

Nukilan ana

MENABUNG ATAU MELABUR?


Tajuk macam serius berkenaan kewangan je. Hehehe saja nak ajak kawan-kawan berfikir. Mana yang bagus? menabung atau melabur? Kalau kita sebut je perkataan menabung ataupun melabur, apa yang terlintas difikiran kita semestinya berkenaan wang. Waktu kita sekolah dulu pun diajar supaya menabung. Apa bezanya menabung dan melabur?

Menabung sama maksud dengan menyimpan. Semakin banyak kita menabung semakin banyaklah simpanan kita dan semakin kaya lah kita ;-) Tetapi, simpanan kita hanya akan bertambah sekiranya kita menambah tabungan. Walau masa menginjak, simpanan tidak akan sesekali bertambah jika tiada tabungan.

Melabur pula adalah proses lain selepas menabung. Hasil tabungan itu kita 'kongsi' dengan yang lain. Secara tak langsung, ia kan memberi pulangan kepada kita. Tanpa menambah tabungan pun, pendapatan kita boleh bertambah hasil daripada pelaburan.

Konsep ini saya guna pakai untuk perkongsian ilmu. Menabung barmaksud menambah ilmu. Semakin banyak kita belajar/membaca etc (bagi menambah ilmu), semakin banyaklah ilmu kita (simpanan). Tetapi, adalah lebih baik sekiranya ilmu itu di'kongsi' bersama (melabur). Secara tak langsung, ia mampu menambahkan ilmu kita juga. Berkongsi dengan orang lain, orang lain pun akan turut sama berkongsi dengan kita. So, ilmu itu tidak datang hanya dari 1 sumber. Kepelbagaian sumber akan memberi kepelbagaian ilmu. Tetapi melaburlah ditempat yang betul dan yang dibenarkan oleh Islam.

Ingat... melaburlah. Jangan hanya menyimpan. Jangan sehingga kita dilabel sebagai kedekut ilmu.

Fikir-fikirkanlah...

Wednesday, May 12, 2010

REDHA AKAN KETENTUANNYA



Salam semua, pagi tadi kami (saya dan hubby) menerima berita sedih yang agak mengejutkan. Berita berkenaan perginya seorang hamba Allah yang belum sempat menikmati keindahan dunia. Seorang bayi kecil meninggal dunia tidak lama setelah dilahirkan. Ibunya adalah rakan sekerja hubby (cikgu jugak lah).

Menurut hubby, semalam dia dah pun merasa sakit-sakit semasa disekolah. Rakan sekerja sempat bergurau senda dengannya. Lebih kurang jam 10 mlm semalam hubby terima sms. Tapi dia tak tengok sebab dah mengantuk sangat dan dia tak perasan ada sms. Pagi tadi seorang lagi rakan menghantar sms yang sama bagi memberitahu akan kejadian tersebut.

Saya mengenangkan perasaan seorang ibu yang mengandungkan 9 bulan dan bila dilahirkan, hanya sempat bersama buat seketika cuma. Ya Allah betapa besar ujian bagi dirinya. Inilah yang dikatakan perancangan kita dibawah perancangan Allah.

Kita merancangkan sesuatu perkara agar ia menjadi indah pada fikiran kita. Namun apa yang berlaku adalah perancangan Allah. Allah yang lebih dahulu merancang daripada kita. Tetapi kita tidak akan tahu apa yang dirancang olehnya untuk kita. Tetapi ini tidak bermakna yang kita tidak perlu merancang.

Apabila berlaku perkara yang bertentangan dengan apa yang dirancang, disinilah konsep redha diguna pakai. Berikut adalah sedikit info berkenaan redha. Semoga memberi manfaat kepada kita semua.

Sifat Redha

1) Sifat redha adalah daripada sifat makrifah dan mahabbah kepada Allah s.w.t.

2) Pengertian redha ialah menerima dengan rasa senang dengan apa yang diberikan oleh Allah s.w.t. baik berupa peraturan ( hukum ) mahupun qada' atau sesuatu ketentuan daripada Allah s.w.t.

3) Redha terhadap Allah s.w.t terbahagi kepada dua :

  • Redha menerima peraturan ( hukum ) Allah s.w.t. yang dibebankan kepada manusia.
  • Redha menerima ketentuan Allah s.w.t. tentang nasib yang mengenai diri.

Redha Menerima hukum Allah s.w.t. :

Redha menerima hukum-hukum Allah s.w.t. adalah merupakan manifestasi daripada kesempurnaan iman, kemuliaan taqwa dan kepatuhan kepada Allah s.w.t. kerana menerima peraturan-peraturan itu dengan segala senang hati dan tidak merasa terpaksa atau dipaksa.

Merasa tunduk dan patuh dengan segala kelapangan dada bahkan dengan gembira dan senang menerima syariat yang digariskan oleh Allah s.w.t. dan Rasulnya adalah memancar dari mahabbah kerana cinta kepada Allah s.w.t. dan inilah tanda keimanan yang murni serta tulus ikhlas kepadaNya.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :
" Tetapi tidak ! Demi Tuhanmu, mereka tidak dipandang beriman hingga mereka menjadikanmu ( Muhammad ) hakim dalam apa yang mereka perselisihkan di antara mereka, kemudian mereka tidak merasa sempit dalam hati mereka tentang apa yang engkau putuskan serta mereka menyerah dengan bersungguh - sungguh ". ( Surah An-Nisaa' : Ayat 65 )

Dan firman Allah s.w.t yang bermaksud :
" Dan alangkah baiknya jika mereka redha dengan apa yang Allah dan Rasulnya berikan kepada mereka sambil mereka berkata : ' Cukuplah Allah bagi kami , Ia dan Rasulnya akan berikan pada kami kurnianya ,Sesungguhnya pada Allah kami menuju ".
( Surah At Taubah : Ayat 59 )

Pada dasarnya segala perintah-perintah Allah s.w.t. baik yang wajib mahupun yang Sunnah ,hendaklah dikerjakan dengan senang hati dan redha. Demikian juga dengan larangan-larangan Allah s.w.t. hendaklah dijauhi dengan lapang dada .

Itulah sifat redha dengan hukum-hukum Allah s.w.t. Redha itu bertentangan dengan sifat dan sikap orang-orang munafik atau kafir yang benci dan sempit dadanya menerima hukum-hukum Allah s.w.t.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :
" Yang demikian itu kerana sesungguhnya mereka ( yang munafik ) berkata kepada orang-orang yang di benci terhadap apa-apa yang diturunkan oleh Allah s.w.t. 'Kami akan tuntut kamu dalam sebahagian urusan kamu ',Tetapi Allah mengetahui rahsia mereka ". ( Surah Muhammad : Ayat 26 )

Andaikata mereka ikut beribadah, bersedekah atau mengerjakan sembahyang maka ibadah itu mereka melakukannya dengan tidak redha dan bersifat pura-pura. Demikianlah gambaran perbandingan antara hati yang penuh redha dan yang tidak redha menerima hukum Allah s.w.t. , yang mana hati yang redha itu adalah buah daripada kemurnian iman dan yang tidak redha itu adalah gejala nifaq.

Redha Dengan Qada' :

Redha dengan qada' iaitu merasa menerima ketentuan nasib yang telah ditentukan Allah s.w.t baik berupa nikmat mahupun berupa musibah ( malapetaka ). Didalam hadis diungkapkan bahawa di antara orang yang pertama memasuki syurga ialah mereka yang suka memuji Allah s.w.t. . iaitu mereka memuji Allah ( bertahmid ) baik dalam keadaan yang susah mahupun di dalam keadaan senang.

Diberitakan Rasulullah s.a.w. apabila memperolehi kegembiraan Baginda berkata :
" Segala puji bagi Allah yang dengan nikmatnya menjadi sempurnalah kebaikan ".

Dan apabila kedatangan perkara yang tidak menyenangkan , Baginda mengucapkan :
" Segala puji bagi Allah atas segala perkara ".

Perintah redha menerima ketentuan nasib daripada Allah s.w.t. dijelaskan didalam hadis Baginda yang lain yang bermaksud :

" Dan jika sesuatu kesusahan mengenaimu janganlah engkau berkata : jika aku telah berbuat begini dan begitu, begini dan begitulah jadinya. Melainkan hendakalah kamu katakan : Allah telah mentaqdirkan dan apa yang ia suka , ia perbuat ! " Kerana sesungguhnya perkataan : andaikata... itu memberi peluang pada syaitan " . (Riwayat Muslim)

Sikap redha dengan mengucapkan puji dan syukur kepada Allah s.w.t. Ketika mendapat kesenangan atau sesuatu yang tidak menyenangkan bersandar kepada dua pengertian :

Pertama : Bertitik tolak dari pengertian bahawa sesungguhnya Allah s.w.t. memastikan terjadinya hal itu sebagai yang layak bagi Dirinya kerana bagi Dialah sebaik-baik Pencipta. Dialah Yang Maha Bijaksana atas segala sesuatu.

Kedua : Bersandar kepada pengertian bahawa ketentuan dan pilihan Allah s.w.t. itulah yang paling baik , dibandingkan dengan pilihan dan kehendak peribadi yang berkaitan dengan diri sendiri.

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :
" Demi Allah yang jiwaku ditangannya !Tidaklah Allah memutuskan sesuatu ketentuan bagi seorang mukmin melainkan mengandungi kebaikan baginya. Dan tiadalah kebaikan itu kecuali bagi mukmin . Jika ia memperolehi kegembiraan dia berterima kasih bererti kebaikan baginya , dan jika ia ditimpa kesulitan dia bersabar bererti kebaikan baginya ".
( Riwayat Muslim )

Saya doakan agar ibu tadi redha dan tabah dalam menerima ketentuan Allah ini. Ini adalah yang terbaik yang ditentukan untuknya. Sesungguhnya Allah itu bekerja dalam diam.

Fikir-fikirkanlah...

Sumber dari http://www.al-azim.com/masjid/infoislam/tasawwuf/redha.htm

Tuesday, May 11, 2010

AKU DAN DILEMA

Bila kita dalam dilema
Kita ada dipersimpangan
Perlu buat keputusan
Perlu ada pilihan

Bila kita dalam dilema
Kepala jadi kusut
fikiran pun berserabut
tingkah laku turut kalut

Bila kita dalam dilema
jalan cerah jadi suram
masa depan tampak kelam
semua rasa kita pendam

Bila kita dalam dilema
banyakkan solat dan berdoa
mohon petunjuk dari Tuhan
agar Dia tunjukkan jalan

Sebenarnya saya yang berada dalam dilema. Berada diantara dua jalan. Tak tau nak buat pilihan. Semuanya mempengaruhi masa depan. Baik atau buruk kita yang tentukan. Kerana kita adalah nakhoda dan pendayungnya ada ditangan. Tapi cukupkah kelengkapan? itu yang menjadi persoalan. Risau diri tak mampu menghadapi dugaan. Kerana semua itu boleh melemahkan. Kecuali adanya sokongan. Barulah diri mendapat kekuatan. wawawawaaaaa apa yang perlu saya lakukan????

Fikir-fikirkanlah...

WE LOVE YOU DAD

Salam buat semua. Untuk pengetahuan semua, ayah saya baru sahaja selesai menjalani pembedahan pada 5 Mei 2010 yang lalu. Ini adalah pembedahan ke-2 yang dia hadapi bagi membuang sejenis ketumbuhan yang terdapat dalam tubuhnya.Pembedahan pertama adalah pada zaman persekolahan saya dahulu (dah agak lama.. so tak igt tarikh yang tepat).

Pembedahan ini adalah bagi membuang ketumbuhan yang terdapat pada buah pinggangnya. Pembedahan ini mempunyai risiko yang tinggi kerana ketumbuhan tersebut mencapai saiz yang agak besar. Alhamdulillah ianya berjalan dengan lancar. Namun agak sedih bagi apak kerana kakinya tidak dapat digerakkan selepas selesai pembedahan tersebut. Tetapi dengan berkat doa dan ikhtiar, Alhamdulillah sehingga kini kakinya boleh berjalan malah mampu berlari.

Setelah lebih 10 tahun pembedahan tersebut berlalu, kini apak menderita sakit dihampir setiap sendi akibat dari biji-biji yang tumbuh dan menekan saraf disendi-sendinya. Doktor memungkinkan bahawa ia adalah sisa-sisa ketumbuhannya yang lalu. Ia mula tumbuh dibahagian tangan kanan (ketiak, siku dan pergelangan tangan). Kemudian melarat ke tangan kiri dan kini ia juga tumbuh di sendi-sendi kaki (terutama bahagian lutut / bawah lutut). Pelbagai cara perubatan alternatif telah dicuba bagi mengelakkan dibedah. Namun tidak mendatangkan hasil.

Pada 3 Mei 2010 yang lalu, apak telah dimasukkan ke wad bagi persiapan pembedahannya yang dijadualkan pada 5 Mei 2010. Dia pergi bersendirian. Anak-anaknya hanya pergi pada tarikh pembedahan. Berikut adalah sedikit catatan sepanjang dia dimasukkan ke hospital;

wajah apak sebelum operation

Ketika ini dia berseorangan di hospital. Tak tau lah siapa yang dia minta tolong ambilkan gambar. Dia hantar menerusi mms ke handphone saya. Kawannya Pak Teh Usop yang selalu datang menemani dia di wad. Terima kasih pak teh.

santapan apak pada hari pertama di wad

Apak rajin mms gambar sebab dia bosan. Sian apak. Nasi tu apak makan sampai habis. Tak cukup katanya sebab sikit sangat & tak boleh nak tambah hehehe.

5 Mei 2010

- 9.30 am - apak dimasukkan ke OT
-9.45 am - apak dibius (Adik-adik & mak sampai. Tapi tak sempat bertemu dengan apak sebab dia dah dimasukkan ke OT)
-10.30 am - pembedahan bermula
-11.30 am - saya keluar kejap dari mesyuarat untuk dapatkan status apak. Masih belum keluar.
-12.30 am - Dah 2 jam dlm OT. masih belum keluar.
-2.30 pm - 4 jam dalam OT. Minta kawan2 turut doakan apak
-8.00 pm - 9 jam setengah. Baru apak dibawa keluar dari OT dan dimasukkan ke wad.
Kami semua menunggu dengan perasaan yang bercampur baur. Sedih ada semua ada. Akak yang berada di Serawak pun dah sedih-sedih dan marah sebab adik-adik tak sempat sampai sebelum apak masuk OT.

Alhamdulillah doktor kata semuanya berjalan lancar. Apak dibedah dibahagian Tangan kanan (ketiak, siku & pergelangan tangan) dan bahagian bawah kaki. Bahagian kaki adalah bagi mengambil urat untuk diletakkan dibahagian pergelangan tangan bagi memastikan jari-jari apak boleh digerakkan kembali. Tetapi biji yang terdapat dibahagian belakang bahu sebelah kanan tidak dapat dibuang. Doktor kata teralu besar dan agak bahaya untuk dikeluarkan. Apak amat bersyukur kerana jari jemarinya boleh digerakkan. Menurutnya, dia akan merasa amat sedih sekiranya jari-jarinya tidak boleh digerakkan lagi. ini kerana, menurut doktor, tangan apak mungkin tak boleh digerakkan sekiranya pembedahan tersebut diteruskan.

Apak selepas sehari operation

Apak tidak dibenarkan mengangkat tangannya atau berjalan dengan kerap buat sementara waktu. Tetapi dia enggan memakai tiub untuk membuang air kecil dan ini membuatkan dia kerap bangun untuk tujuan tersebut. Kakinya sekrang agak bengkak akibat kerap bergerak & berpijak.

Alhamdulillah, semalam (10 Mei 2010) apak telah dibenarkan keluar dari hospital. Tetapi luka dibahagian kakinya masih membimbangkan doktor. Apak dikehendaki hadir semula ke hospital untuk pemeriksaan lanjut pada Isnin minggu hadapan (17 Mei 2010).

Kami semua mendoakan agar apak cepat sembuh dan kembali ceria seperti sedia kala.
Fikir-fikirkanlah...

Monday, May 10, 2010

KITA TANYA, QURAN JAWAB

Salam buat semua, entri ini adalah email yang saya terima dari seorang sahabat. Menarik untuk di kongsi. Rasanya setiap dari kita pernah melontarkan soalan yang sama pada diri. So kita lihat apa jawapannya ;-)


KITA BERTANYA :
KENAPA AKU DIUJI?

QURAN MENJAWAB

"Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; "Kami telah beriman," ("I am full of faith to Allah") sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya Kami telah menguji org2 yg sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui org2 yg benar dan, sesungguhnya Dia mengetahui org2 yg dusta."
-Surah Al-Ankabut ayat 2-3


KITA BERTANYA
: KENAPA AKU TAK DAPAT APA YG AKU IDAM-IDAMKAN?

QURAN MENJAWAB

"Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui."
- Surah Al-Baqarah ayat 216


KITA BERTANYA :
KENAPA UJIAN SEBERAT INI?

QURAN MENJAWAB

"Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya."
- Surah Al-Baqarah ayat 286


KITA BERTANYA
: KENAPA RASA FRUST?

QURAN MENJAWAB

"Jgnlah kamu bersikap lemah, dan jgnlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah org2 yg paling tinggi darjatnya, jika kamu org2 yg beriman."
- Surah Al-Imran ayat 139


KITA BERTANYA :
BAGAIMANA HARUS AKU MENGHADAPINYA?

QURAN MENJAWAB

"Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah (be fearfull of Allah The Almighty) kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan)."

KITA BERTANYA
: BAGAIMANA HARUS AKU MENGHADAPINYA?

QURAN MENJAWAB

"Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk"
- Surah Al-Baqarah ayat 45


KITA BERTANYA :
APA YANG AKU DAPAT DRPD SEMUA INI?

QURAN MENJAWAB

"Sesungguhnya Allah telah membeli dari org2 mu'min, diri, harta mereka dengan memberikan syurga utk mereka... ?
- Surah At-Taubah ayat 111


KITA BERTANYA
: KEPADA SIAPA AKU BERHARAP?

QURAN MENJAWAB

"Cukuplah Allah bagiku, tidak ada Tuhan selain dari Nya. Hanya kepadaNya aku bertawakkal."
- Surah At-Taubah ayat 129


KITA BERKATA :
AKU TAK DAPAT TAHAN!!!

QURAN MENJAWAB

"... ..dan jgnlah kamu berputus asa dr rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dr rahmat Allah melainkan kaum yg kafir."
- Surah Yusuf ayat 12



Peringatan ini saya terima dari sahabat yang prihatin pada saya. Saya sebarkan peringatan ini kepada sahabat2 tersayang untuk ingat mengingati kepada kebenaran

Fikir-fikirkanlah...

Sunday, May 9, 2010

RENDANG APAK

Penat memikir nak masak apa untuk makan tengahhari. Pada kebiasaannya, hari ahad kami (saya & hubby) akan ke pasar, jadi banyaklah benda yang boleh dimasak. Tetapi hari ini, hubby ada sukan sekolah. So takde lah kami ke pasar. Masak ajelah apa yang ada kat dalam peti sejuk. Tengok ada ayam (2 paha). Hajat dihati nak masak rendang. Apakandaya cili kering pulak dah kering. Cubalah guna cili kampung. Bahan-bahan yang biasa digunakan disediakan macam biasa (serai, halia, bawang merah, bawang putih, kunyit dan bahan penumis). Kebiasaannya rendang apak ni guna kicap manis. Tapi kali ni saya ubah sikit, saya tak letak kicap. Saya biarkan macam tu aje, letak santan, kasi didih dan kering sikit.

mmmmm disebabkan dah biasa buat rendang hitam, bila tengok rupa rendang ni nampak pucat jer. Selera nak makan pun tak berapa nak datang. Maklumlah, cili pun tak banyak. Sebelum makan saya siap pesan pada semua; "Makan je lah ye.. ini sahajalah rezeki untuk kita hari ini". Terkejut juga saya tengok hubby makan bertambah. Dia kata sedap (dalam hati kembang juga hehehe).

Nak buat macam mana, sememangnya tangan tak pandai masak. Setakat boleh masak. Antara adik beradik, sayalah yang paling tak pandai masak. Selalu kena tegur or komen (sejak zaman sekolah). Terasa rendah diri juga. Sejak itu saya tidak akan masak sekiranya balik ke kampung atau berkumpul bersama keluarga saya.

Tetapi berlainan pula bila dirumah mertua. Dimata mereka, saya seorang yang pandai memasak. Selalu saya mendapat pujian. Seronok rasanya nak memasak bila orang hargai setiap masakan kita. Rakan pejabat pun kata perkara yang sama.

Yang penting, hubby kata saya pandai masak. melalutlah pulak.

Malam ni saya nak masak sambal tempoyak / serunding. Masakan orang Pahang. Simple dan mudah.


Fikir-fikirkanlah...

Saturday, May 8, 2010

SELAMAT HARI IBU BUAT SEMUA


Salam dan selamat hari ibu untuk diri sendiri hehehe dan untuk semua yang bergelar ibu. Tak sangka saya dah jadi ibu / ummi untuk 2 mujahid (Afnan & Aiman). Tetiba rasa terharu. Sejak dah 2 anak ni, hati mudah tersentuh ;-) Hari ni secara tak langsung celebrate hari ibu dengan family saya (hubby, Afnan & Aiman) dan ibu saya Nun Zimah. Kami makan steambot kt JJ. Hubby belikan cermin mata hitam (considered as hadiah hari ibu hehehe). Thank you so much. Dan gambar diatas diangkut dari blog sahabat saya yang juga seorang ibu. ThankS Pae.. Sahabat sejati ;-)

~SELAMAT HARI IBU~

Fikir-fikirkanlah...

SUKARNYA MENJADI SEORANG IBU

Ibu, emak, ummi, mama
Biar apapun gelaran mu
Engkaulah wanita gagah
Engkaulah wanita tabah

Betapa tinggi pengorbanan mu
Hanya engkau yang tahu
Betapa hebat dugaan mu
Hanya engkau yang tahu

Dalam rahimmu tertanam benih
Benih harapan pengerat ikatan
Kau terima dengan hati terbuka
Kau jaga dengan penuh rasa
Gembira dikau tiada terkata

Sembilan bulan penuh sengsara
Sembilan bulan penuh derita
Sakit pening semua kau rasa
Demi menjaga benih bersama

Kini tiba saat ketika
Gelaran ibu bakal ditakhta
Namun nyawamu jadi taruhan
Demi lahirnya seorang insan
Yang engkau inginkan dan engkau hajatkan

Betapa besar pengorbanan mu ibu
Engkau mengandungkan melahirkan
Engkau juga yang menenangkan
Engkau tahan jeirt anakmu
Engkau layan tangis anakmu
Engkau tersenyum gembira dengan tawa anakmu
Namun sakit pening mu siapa yang tahu?

Dulu aku memanggilmu ibu
Kini aku bergelar ibu
Tanpamu ibu
Aku tak mampu bergelar ibu
Tanoa mu ibu
Tiada aku bernafas lagi
Tanpa mu ibu
Aku bukan aku

Terima kasih mak atas semua yang engkau berikan selama ini. Tanpa henti engkau berkorban demi anakmu. Tanpa henti engkau membahagiakan anakmu ini. Betapa aku berhutang dengan mu. Tiada terbalas diri ini atas pemberian mu. Terima kasih mak. Terima kasih yang tidak terhingga. Terlalu banyak airmata mu mengalir demi kami. Maafkan kami atas setiap kesalahan kami terhadap mu. Maafkan kami mak, maafkan kami. Biarpun buruk engkau dimata yang lain, engkau ratu dihati kami.

Selamat Hari Ibu buat semua ibu didunia terutama buat ibuku. Aku sayang kamu... Ya Allah engkau tetapkanlah dia bersama kami.

Fikir-fikirkanlah...

AMALAN KU BAGI MENAMBAHKAN SUSU

Ingin saya kongsikan disini apa yang saya amalkan dalam memastikan pengeluaran susu saya sentiasa ada dan semakin bertambah. Apa yang saya amalkan pun semuanya hasil dari pembacaan saya menerusi internet. Alhamdulillah, kalau kita gunakan internet ni dengan betul banyak gunanya :-) Berikut adalah apa yang saya pernah baca (hanya sebahagian sahaja yang saya pernah cuba);

1. Pemakanan;
  • Lobak putih, sawi, pegaga, pucuk betik, jantung pisang, cekur manis, kacang hijau, kacang tanah, kucai, petola, bayam, daun turi (saya pun tak tau daun apa ni hehehe).
  • Yang saya pernah amalkan ialah bayam, jantung pisang, sawi, kacang tanah (mmg selalu mkn), pegaga dan kucai
  • bayam; saya buat goreng biasa or masak putih. Kesannya mmg terasa. Dan ia mmg membantu utk membayakkan susu
  • Sawi; sememangnya menjadi sayuran utama keluarga saya.
  • Kucai; saya rebus dan minum airnya. Tapi bila saya amalkan meminum air kucai, urine saya kelihatan terlalu kuning. Hubby saya kata baguslah sebab dia keluarkan semua toksid dlm badan. saya tak pasti betul ke? so saya berhenti minum air kucai.
  • Pegaga & jantung pisang tu dijadikan ulam. InsyaAllah membantu.
2. Minuman;
  • susu, longan kering, halba, oat, milo, nestum, horliks, buah pala, jus pegaga, spirulina, kurma, madu & kismis
  • saya amalkan susu milo, horliks, madu & kismis
  • saya minum susu anmum, 1 cawan besar tu saya letak 4 sudu susu. saya tak suka minum kalau susu sikit ;-)
  • Milo pula menjadi minuman harian saya. Yang lain2 tu saya ambil kadang-kadang. Dulu madu saya minum setiap pagi dan malam (madu tok guru)
3. Supplement;
  • Milkmaid tea.
  • Saya pernah minum tea ni. Saya cari difarmasi2 tiada. So saya serve internet dan belinya melalui internet. Waktu ni saya risau susu saya macam semakin kurang. So saya keep on cari apa2 supplement yang boleh membantu saya. Saya duk minta ubat dari Doc, tapi doc tak nak beri. Harga tea ni agak mahal. RM50 sekotak dan hanya ada 16 peket sahaja didalamnya. Saya rendam dan minum mcm biasa. Tetapi saya rasa, susu saya makin kurang bila minum tea ni (saya minum 3 peket). so saya terus berhenti. So bila saya fikir, kenapa perlukan suplement, InsyaAllah susu akan cukup sekiranya kita yakin dan sentiasa berdoa pada Allah.
4. Zikir & doa
  • Banyakkan berdoa pada Allah semuga ditambah & dibanyakkan susu sesuai dengan keperluan anak kita.
  • Zikir Al-Matin semasa menyusukan (baru dapat dr laman sembang susuibu.com hehehe tq)
Pesanan doc; "banyakkan minum air, minum segelas air setiap kali sebelum menyusukan. awak tak perlukan pil, pil hanya bagi orang yang tiada susu. Bila awak menyusukan, jgn sesekali risau. Awak perlu tenang. Kalau ada risau sikit pun dia akan kurangkan pengeluaran susu"

Happy brest feed :-)
Fikir-fikirkanlah...

Tuesday, May 4, 2010

MENYUSUKAN BAYI BAGI YANG BEKERJA

Menyusukan bayi bagi wanita yang bekerja merupakan satu cabaran besar. Tidak semua ibu yang bekerja mampu menyusukan bayi mereka. Saya adalah seorang ibu yang bekerja dan pada masa yang sama saya juga menyusukan anak. Saya kongsikan disini rutin saya dan apa yang saya lakukan sepanjang proses saya menyusukan bayi (Baby baru 4 bulan).

Apabila bersalin, syarikat akan beri 2 bulan cuti bergaji (tang ni yang paling best, tak yah kerja tapi gaji jalan.. terima kasih bos). Susu hanya keluar bermula pada hari ke-3 selepas bersalin. So, dalam tempoh 2 hari pertama, saya berikan dia susu formula. Tetapi dengan puting yang lembut dan bukan puting yang biasa ada dipasaran. Amat-amat berterima kasih kepada GMC (Gombak Medical Centre) kerana banyak membantu dalam proses penyusuan ini. Mereka susukan bayi saya dengan puting tersebut. Ia bagi mengelakkan bayi daripada keliru puting. Dalam masa yang sama saya turut pam my breast untuk menggalakkan susu keluar.

Saya menyusukan bayi disepanjang tempoh berpantang. Pada 2 minggu yang terakhir, saya hanya menyusukan pada waktu malam sahaja. Saya berikan dia susu yang sudah dipam pada waktu siang (tempoh waktu bekerja). Ini bagi melatih dia untuk menyusu menggunakan botol. Juga melatih kita untuk pam mengikut masa dan mengagak berapa 0z dia menyusu pada siang hari.

Pemilihan breast pump amat penting. Ia bagi memastikan susu keluar dangan elok dan kita merasa selesa semasa proses pam. Tidak salah untuk belanjakan sedikit wang untuk mendapatkan pam yang elok demi memberikan susu yang berkualiti buat anak kita. Sekiranya mampu, belilah pam elektrik / bateri. Ia mudah dan tidak memenatkan. Beli yang mudah untuk dibawa kemana-mana (senang nak bawa pergi ke pejabat or tempat bekerja).

Gambar di atas adalah kelengkapan saya. Barang-barang tersebut adalah perkara wajib untuk dibawa kepejabat. Breast pump tersebut boleh diguna secara manual, elektrik & bateri. Kalau saya outstation, biasanya saya akan gunakan bateri. Tetapi sekarang, saya lebih gemar menggunakan manual. Susu pun lebih banyak daripada menggunakan elektrik ataupun bateri (rasanyalah). Bekas biru tu adalah tempat untuk menyimpan susu. Masukkan ais kedalam bekas tersebut sebelum menyimpan susu. Ini bagi memastikan susu tahan lama. Untuk pengetahuan, dibawah adalah tahap ketahanan susu;
  • Suhu bilik - 4 - 6 jam
  • Tempat kedap udara - 12 jam
  • Peti sejuk bahagian bawah - 3 hari
  • Peti sejuk bahagian sejuk beku - 3 bulan
Perhatian: jangan simpan susu di bahagian peti sejuk. Ini kerana suhunya boleh berubah-rubah kesan daripada kekerapan membuka pintu tersebut. simpan dibahagian yang paling hampir dengan freezer.


Ini adalah hasil saya semalam. Sikit jika dibandingkan dengan orang lain. Apa-apa pun Alhamdulillah. Seelok-eloknya, masa untuk mengepam adalah sama setiap hari. Tetapi kekadang bertukar juga mengikut kesibukan. Saya hanya dapat pam 2 kali sehari sahaja. Pukul 11.00am dan pukul 4.00pm. Bilik mesyuarat selalunya menjadi tempat untuk saya dan rakan lain pam. Terima kasih sangat-sangat kepada boss kerana memahami kami.


Ini stok saya yang tidak seberapa. Saya pack kan dalam breast milk plastic bag. Pack untuk sekali susuan. Saya akan keluarkan dari freezer 3 - 4 pack (cukup untuk sehari susuan) pada waktu malam. Untuk cairkan susu, rendam susu yang beku (1 pack) ke dalam air paip yang mengalir (tak mengalir pun tak pe). Bila susu dan mencair, goncang dan masukkan kedalam botol susu (bagi memastikan kandungan susu bercampur semula). Kemudian rendam pula dengan air suam. Jangan rendam susu yang masih didalam plastik kedalam air suam / panas. Ia tidak bagus untuk susu &bayi.

Nanti saya akan ceritakan apa yang saya amalkan bagi menambah produktiviti susu ;-)


Fikir-fikirkanlah...

Monday, May 3, 2010

SUSU IBU

Menyusukan bayi secara eksklusif memang sesuatu yang mencabar bagi ibu-ibu yang bekerja. Walaubagaimanapun, kita patut mencuba sedaya upaya untuk menyusukan anak kita selagi termampu. Sesungguhnya susu ibu adalah yang terbaik buat anak kita. Adalah satu kekurangan bagi saya sekiranya tidak dapat menyusukan anak kita. Susukanlah mereka walaupun hanya untuk sementara waktu.

Pengalaman menyusukan anak pertama saya amat berharga. Ia menjadi panduan buat saya dalam menangani masalah penyusuan bagi anak ke-2. Saya hanya dapat menyusukan anak pertama kurang dari sebulan. Ia benar-benar membuatkan saya sedih. Ini berlaku kerana bayi saya telah mengalami masalah keliru puting dan kesilapan saya dalam memilih breast pump.

Bagi anak yang kedua ini, saya memastikan yang saya menyusukan dia sepenuhnya. Sekurang-kurangnya saya dapat mencapai breastfeeding exclusive (penyusuan penuh selama 6 bulan pertama). Alhamdulillah setakat ini saya masih menyusukan dia tanpa campuran susu formula. Usianya baru menjangkau 4 bulan. Amat-amat berdoa agar saya akan dapat terus menyusukan dia. Bagi yang bakal menjadi ibu, banyakkan bacaan bagi menambah pengetahuan dalam penyusuan. Saya akan ceritakan kisah dan pengalaman saya berkenaan penyusuan dalam entri seterusnya. Semoga ia dapat menjadi panduan bersama.

Begitu indah & sempurna ciptaan Allah, sesungguhnya ia mampu mengeluarkan susu yang amat berkualiti bagi bayi yang dilahirkan. Dan penghasilannya mampu bertahan sehingga bertahun lamanya.

Fikir-fikirkanlah...

GLOSSARY OF ISLAMIC FINANCE TERMS


Saya akan senaraikan beberapa perkataan yang selalu kita jumpa sekiranya membuat urusan dengan menggunakan kewangan Islam. Saya akan cuba berikan maksud yang mudah untuk difahami. Hampir kesemua bahan rujukan adalah menggunakan bahasa inggeris. Saya akan kemas kini dan menambah senarai perkataan ini dari masa kesemasa. Berikut adalah antara glossary / term yang digunakan didalam islamic finance;

  1. Al-Ijarah thumma al-bay ~ hire purchased. Sewa kemudian beli (terjemahan mengikut perkataan) ia lebih dikenali sebagai AITAB
  2. Al-Qard al-Hassan ~ a virtuos loan(pay the principal amount of the loan) . Pinjaman yang memerlukan sipeminjam membayar harga asal pinjaman
Senarai ini akan ditambah dari masa kesemasa mengikut kelapangan dan kesesuaian masa.

Fikir-fikirkanlah...

CERT DAN KEWANGAN ISLAM

CERT dan kewangan Islam adalah kombinasi yang amat sinonim. Ini kerana CERT menawarkan pelbagai bengkel berkenaan industri tersebut. Ia juga menerbitkan buku yang berkaitan dengan industri kewangan Islam. Terfikir saya untuk bersama berkongsi sedikit sebanyak apa yang saya ketahui dan perolehi selama saya bekerja di CERT Events Sdn Bhd. Pejam celik pejam celik, rupanya sudah hampir 4 tahun saya bekerja disini. Syarikat ini menyediakan khidmat latihan dalam industri kewangan Islam. Secara langsung dan tidak langsung saya telah menghadiri, mengendali dan merancang pelbagai program atau bengkel yang berkaitan dengan kewangan Islam. Bagi banker, lawyer, academicians yang mempunyai interest dalam bidang ini, mereka biasa mendengar berkenaan syarikat ini.

Kini, saya terpanggil untuk berkongsi sedikit ilmu dan info berkenaan kewangan Islam di dalam blog ini. Mungkin ia boleh digunakan atau menjadi manfaat kepada kita.

Kuala Lumpur Islamic Finance Forum 2009 di Nikko Hotel

Antara bengkel kewangan Islam yang dikendalikan oleh CERT Events

Ilmu yang kita ada, haruslah dikongsi bersama. Agar saya juga akan mendapat manfaat daripadanya :-)


Fikir-fikirkanlah...

AKU NAK JADI KAYA!!!!


Aku nak jadi kaya! aku nak jadi kaya! Aku nak jadi kaya di dunia dan juga kaya diakhirat. Ramai yang kita lihat sekarang, mereka kaya didunia tetapi diakhirat belum tahu lagi. Tidak kurang juga yang mencari kaya untuk akhirat tetapi didunia mmmmmmm... Apa yang penting, untuk jadi kaya kita perlu berusaha dan bekerja keras.

Ukuran bagi kaya di dunia adalah dengan mempunyai duit yang banyak (tiada masalah kewangan), mempunyai rumah yang besar dan selesa, kereta besar dan segala macam kebendaan lagi. Kita perlu berusaha dan bekerja (hard & smart) untuk memperolehi segalanya. Tetapi ia tidak menjamin samasekali untuk kita kaya di akhirat.

Untuk kaya diakhirat pula, kita perlu banyakkan ibadah, zikir dan segalanya berkaitan dengan cara untuk menjadi hamba Allah yang baik. Tetapi tidak pula dengan hanya beribadah sehingga menolak semua tuntutan duniawi.

Berikut adalah perkara yang saya fikirkan boleh membuatkan kita kaya didunia dan akhirat;

  1. Bekerja dengan bersungguh. Memikirkan cara untuk menambahkan pendapatan dengan cara HALAL dan dibenarkan Islam.
  2. Sambil menambah harta, sambil kita menderma.
  3. Elakkan menindas insan lain demi mengejar impian kita.
  4. Jujur dalam setiap urusan seharian.
  5. Jangan sesekali meninggalkan suruhannya walaupun dalam kesibukan kita mencari pendapatan.
  6. Banyakkan berdoa kepadanya, termasuklah berdoa agar ditambahkan & dimurahkan rezeki.
  7. Jangan sesekali menerima rasuah ataupun mengambil riba'. Ia amat-amat dilarang didalam Islam.
  8. Didalam kesibukan mencari harta, selitkan zikrullah disetiap waktu senggang.
  9. Baca Al-quran walaupun sepotong ayat setiap sesudah solat.
  10. Jangan amalkan tikam belakang dalam urusan kerja. Bantu sesama rakan sekerja dengan ikhlas hati.
Pendek kata, amalkan sifat-sifat murni sepanjang urusan kita seharian. Ia mungkin nampak remeh, tetapi Islam memandangnya sebagai suatu perkara yang besar. Jadikan Islam sebagai cara hidup dan cara berfikir. InsyaAllah kita akan mendapat kekayaan di dunia & di akhirat. Ameeennn


Fikir-fikirkanlah...

Saturday, May 1, 2010

SARAPAN PAGI OMELETTE & NASI LEMAK

Alhamdulillah... segala puji bagi Allah yang telah memurahkan rezeki pagi saya pada hari ini. Hari ni saya bersarapan di kampung bersama ahli keluarga saya. Bila menziarah blog seorang kawan yang seronok berkongsi resepi, saya turut rasa terpanggil untuk turut berkongsi bersama resepi masakan sarapan pagi tadi. Pagi tadi kami bersarapan dengan nasi lemak, ayam rempah dan omellet. Semuanya dimasak oleh adik-adik saya (mawarni & haryati) saya tukang makan je hehehehe. Mereka sememangnya pandai memasak jika dibandingkan dengan saya ;-)

Nasi lemak

Nasi lemak ramai yang pandai buatkan. Saya nak berkongsi resepi Omelette. saya pun baru pertama kali makan. Rasanya sedap sebab dia dimakan dengan sos lada hitam dan mayonis. Ia adalah kombinasi roti sandwich dan daging burger bersama sayuran yang disalut dengan telur. Macam burger salut telur lah. Pastu letak sos lada hitam dan dihiasi dengan mayonis. Sedap dimakan bersama coleslaw. Bila dah siap rupanya akan jadi begini;

Omelette

Bahan-bahan omelette:

2 keping roti sandwich (goreng mcm goreng roti burger)
1 keping daging burger (goreng macam nak buat burger)
4 hirisan timun
sedikit sos
sedikit mayonis
1 biji telur (untuk membalut roti)

(sos & mayonis tu dicampurkan dan disapu pada daging burger yang sudah dimasak)

Bahan untuk sos lada hitam:

sesuka hati lada hitam hehehehe (hancurkan)
sos cili
susu cair
kicap pekat
marjerin
garam
gula
air
tepung jagung

semua sukatan hendaklah sama bagi setiap bahan

Cara masak;

Omelette -
goreng daging burger dan roti. Sapu daging dengan sos yang telah dicampur mayonis. Susun roti, daging & sayur. goreng telur (ratakan atas kuali leper - bagi memudah kan untuk membalut roti). Letak roti keatas telur dan balutkan.

Sos lada hitam -
masukkan semua bahan periuk dan masakkan sehingga pekat.

Hidangkan bersama coleslaw. Yum yum.. selamat mencuba ;-)


Fikir-fikirkanlah...
Related Posts with Thumbnails